TELUK INTAN – Masalah struktur tanah mendap di Masjid At-Taqwa di Kampung Padang Tembak di sini yang berlarutan lebih 10 tahun mendapat perhatian Anggota Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming yang telah mendapatkan peruntukan RM1.6 juta bagi kerja pembaikan.
Nga yang juga Pengerusi DAP Perak berkata peruntukan itu mendapat kelulusan khas oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang menurutnya cukup prihatin selepas dimaklumkan masalah masjid berkenaan yang memerlukan tindakan segera.
“Kelulusan dalam masa singkat ini membuktikan Pakatan Harapan adalah sebuah kerajaan yang menolak perkauman dan mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nga telah menyerahkan peruntukan itu kepada jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hilir Perak Abdul Rani Harun dengan kehadiran anggota jawatankuasa jemaah masjid berkenaan.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata projek tersebut akan dijalankan secara tender terbuka.
“Pihak JKR perlu memastikan setiap sen peruntukan ini diguna pakai dengan optimum supaya tidak berlaku sebarang pembaziran dan ketirisan,” tegasnya.- BERNAMA