Home Politik MCA: Terserah kepada UMNO-Pas, tapi…

MCA: Terserah kepada UMNO-Pas, tapi…

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata parti itu tidak mahu mengambil peduli tentang kerjasama UMNO dan Pas.

Namun menurut beliau, sekiranya ia mengganggu gugat pendirian MCA, maka parti tersebut tidak teragak-agak untuk bersuara terhadap kerjasama kedua-dua parti berkenaan.

“Ini tidak ada kena mengena dengan MCA. Kalau ada parti lain nak kerjasama dengan UMNO, itu terserah kepada mereka. Tapi bagi saya yang penting tidak menggangu gugat pendirian MCA kalau sesuatu yang menyentuh tentang MCA, maka kita bebas bersuara.

“Yang penting kita masih lagi mengekalkan semangat yang ada sekarang dan MCA tetap berpendirian bahawa selama ini apa yang diperjuangkan secara moderat secara berpandukan kepada perlembagaan, itu memang kita tidak pernah abaikan,” katanya kepada media di lobi Dewan Rakyat.

Malah katanya, terserah kepada UMNO untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak yang dianggap boleh membawa kepentingan kepada politik mereka.

Bagaimanapun, UMNO digesa agar prihatin terhadap pendirian yang selama ini dipamerkan MCA terhadap kerjasama tersebut.

“Pergi tanya UMNO dan Pas. Biar mereka jawab, tapi pendirian MCA kalau sesiapa yang mewakili MCA untuk bercakap, itu tidak boleh.

“Kita ada pendirian kita dan sebagai parti kita tidak terikat kepada mana-mana pakatan atau perbincangan, kita punya pandangan kita sendiri dan apa yang kita tidak setuju kita akan maklumkan secara terus terang tidak setuju.

September lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengulangi pendirian tidak bersetuju sekiranya UMNO dan Pas bergabung kerana ia melanggar semangat serta konsep kesederhanaan dalam BN.

Malah Tiong Lai berkata, sekiranya perkara itu berlaku, ia akan memberi kesan negatif kepada BN termasuk terbubarnya pakatan berkenaan.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, MCA kini menumpukan kepada pembangunan semula parti itu setelah kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

“Objektif saya untuk membina semua parti ini. Malah MCA sedang mengalami perubahan yang pragmatik dan keutamaan saya berikan kepada parti,” katanya.

Pada PRU14 lalu, MCA hanya menang satu daripada 39 kerusi Parlimen dan 2 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri, sekali gus kekalahan paling teruk dalam sejarah 69 tahunnya.

Ka Siong menang di kerusi Parlimen Ayer Hitam dan dua kerusi DUN yang dimenangi ialah Cheka dan Titi Tinggi. – MalaysiaGazette