Home Seni Hidup Nabil kekalkan ‘harga’ tak mahu lupa diri

Nabil kekalkan ‘harga’ tak mahu lupa diri

Pengacara, Nabil Ahmad menyampaikan ucapan selepas dinobatkan sebagai pemenang Hos Meletop pada Anugerah Meletop Era 2018 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Pengacara dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad tidak menganggap anugerah Pengacara Hiburan Terbaik yang diterimanya pada acara Asian Academy Creative Awards (AAA) sebagai titik tolak untuk menaikkan ‘harga’ untuknya.

Nabil sebaliknya berkata, pengiktirafan itu akan dijadikannya sebagai pemangkin untuk menjadikan dirinya sebagai pengacara yang lebih baik pada masa akan datang.

Tidak mahu ‘lupa diri’ Nabil tidak menerima tawaran mengacara dalam suatu tempoh sebelum ini dijadikannya sebagai pengalaman.

“Bayaran saya tetap sama sahaja. Tidak akan ada perubahan kerana dalam situasi sekarang, kita tidak boleh meletak letak harga sesuka hati.

“Saya pernah berdepan pengalaman apabila langsung tidak menerima tawaran dan keadaan itu membuatkan saya bimbang memandangkan saya ada banyak komitmen.

“Perasaan bimbang itu, bagaimanapun hilang apabila rakan lain turut mengalami nasib serupa. Justeru, saya tidak mahu berkira sangat soal bayaran kerana apa yang lebih penting adalah tawaran kerja berterusan demi jaminan masa depan,” katanya.

Bekas pemegang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-21 itu memenangi anugerah itu menerusi program, Gegar Vaganza musim keempat yang dikendalikan bersama Jihan Muse, pada tahun lalu.

Nabil tidak menyangka program yang padanya memberikan kontroversi sehingga beberapa kali namanya menjadi sebutan sebagai medium untuknya diberikan pengiktirafan.

“Tidak sangka, program itu menghadiahkan kemenangan. Mungkin saya kena teruskan kontroversi sebab orang suka hingga saya menerima pengiktirafan,” tambahnya.

AAA diperkenalkan untuk memberi pengiktirafan dan meraikan kejayaan mereka yang terbabit secara langsung dalam industri kreatif terutama dalam segmen kandungan dan produksi media.

Anugerah itu mempertandingkan 49 kategori membabitkan penyertaan dari 20 negara Asia.-MalaysiaGazette