KUALA LUMPUR – Dr. Maszlee Malik mengarahkan semua sekolah rendah dan menengah di negara ini wajib memiliki Sijil Layak Menduduki (CF) dan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) menjelang sistem pendidikan tahun 2019.
Menteri Pendidikan itu berkata, langkah itu bagi memastikan murid dan pelajar sekolah menikmati suasana pembelajaran yang selesa dan keadaan selamat.
“Saya difahamkan banyak sekolah yang siap dibina dan sudah beroperasi lama tetapi tidak memiliki CF dan CCC.
“Saya serius dan percaya selepas rumah, sekolah merupakan institusi yang perlu penjamin suasana akademik yang selamat untuk anak-anak semua.
“Jadi, saya mahu semua sekolah rendah dan menengah dipastikan memiliki CF dan CCC segera,” katanya.
Selain itu, kementerian juga katanya akan memperkenalkan sukan renang dalam aktiviti kokurikulum sedia ada untuk murid sekolah bermula tahun depan.
Ujarnya, ia akan dimulakan terlebih dahulu di sekolah sekolah yang terletak berdekatan dengan kemudahan kolam renang awam di kawasan atau sesuatu daerah itu.
“Saya nak umumkan aktiviti kokurikulum belajar berenang untuk murid murid semua di sekolah mulai tahun hadapan..tetapi bukan semua sekolah, hanya sekolah yang berhampiran dengan kemudahan kolam renang awam.
“Ia juga antara langkah KPM untuk memastikan keselamatan anak anak di sekolah..saya tidak mahu dengar berita lagi bahawa anak-anak lemas dan tak tahu berenang.
“Melalui KPM dan Dewan Bahasa dan Pustaka kita akan mengaturkan kolam renang untuk murid belajar berenang dan secara berperingkat ia akan dilaksanakan di semua sekolah seluruh negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette