KUALA LUMPUR – Kejatuhan unjuran ekonomi 1.5 peratus kepada 4.5 peratus pada tahun ini sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara menyumbang kepada hilangnya 100,000 peluang pekerjaan.
Bekas Pegawai Khas Perdana Menteri, Isham Jalil berkata, kemerosotan itu berdasarkan langkah Bank Dunia yang akan menurunkan unjuran ekonomi negara dengan 1.5 peratus pada tahun depan.
“Bank Dunia meramalkan semula dengan menurunkan unjuran ekonomi kita pada 2019 akan jatuh sebanyak 1.5 peratus.
“Zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dulu banyak kali berlaku krisis ekonomi berbanding zaman Datuk Seri Najib Razak di mana sembilan tahun tiada krisis ekonomi.
“Bila berlaku krisis ekonomi, semua orang terkesan dan sekarang pun orang terasa macam cerun licin, kita masuk dan akan terjerumus lagi sebab dasar-dasar kerajaan sekarang,” katanya berucap pada Forum bertajuk: ‘Halatuju Malaysia: Ke Mana Kita? di Taman Seputeh petang tadi.
Isham juga berkata, apabila hilangnya peluang pekerjaan dapat dilihat apabila lebih 17,000 penjawat awam berstatus kontrak ditamatkan perkhidmatan serta-merta dan tidak termasuk agensi-agensi kerajaan.
“Kira-kira 20,000 pekerja Gamuda hilang pekerjaan, penjawat awam kerajaan pula 17,000 orang, Jasa 1,200 dan saya campur lain-lain berjumlah 80,000 hingga 100,000 orang.
“Kira-kira 100,000 orang yang hilang pekerjaan ini mereka ada purara 3 orang tanggungan maka 300,000 orang hilang pekerjaan,” katanya.
Beliau turut berkata, kejatuhan unjuran ekonomi negara dapat dilihat daripada tindakan pelabur asing keluar negara dan dua sektor utama akan terkesan dari awal iaitu pembuatan dan pembinaan.
“Indeks pembinaan turun hingga separuh tahun ini berbanding tahun 2017 dengan pertumbuhan naik sehingga tujuh peratus tapi tahun ini jatuh kepada empat peratus.
“Sektor perkilangan pada tahun 2017 pada paras lima peratus, sekarang tiga peratus. Setiap kali jatuh, petunjuk ini adalah peluang pekerjaan untuk anda.
“Bila kita tiada pekerjaan, kita tiada makan, PH potong bantuan, dulu kita dapat BR1M, sekarang tiada kerja, dapat apa?
“Sebab itu tiga hari lepas di Arau (Perlis) tiga orang bunuh diri kerana tertekan akibat kos sara hidup tinggi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette