Home Utama KPT pantau pelajar Malaysia ditahan di Mesir – Idris Jusoh

KPT pantau pelajar Malaysia ditahan di Mesir – Idris Jusoh

Idris Jusoh

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang memantau perkembangan seramai 126 pelajar Malaysia yang ditahan polis Mesir pada 27 Februari lalu berhubung kesalahan visa pelajar.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya telah dimaklumkan bahawa pelajar tersebut telah kembali ke tanahair.

“Mereka sudah mula balik dan kita sedang memantau agar mereka selamat.

“Sebenarnya antara mereka bukan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan masih di peringkat sekolah kerana ada yang berumur 10 tahun.

“Jadi ini isu keseluruhan dan bukan hanya melibatkan IPT,” katanya yang ditemui media selepas pertandingan Picth for Progress (PfP) di Universiti Kuala Lumpur di sini hari ini.

Idris diminta mengulas isu pelajar berusia 10 hingga 22 tahun yang bersekolah di sebuah maahad tahfiz di A Sharqia, Mesir yang ditahan kerana tidak memiliki visa belajar yang sah atau tamat tempoh.

Berita itu disahkan oleh Setiausaha Kedua Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah,  Mohd Husaini Zainuddin yang memberitahu mereka kesemua dibawa ke Pusat Latihan Pasukan Polis Wilayah A1 Sharqia untuk diambil keterangan dan berada di bawah pengawasan polis. – MalaysiaGazette