KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berikrar mahu mencari jutawan kontroversi, Jho Low sehingga ke lubang cacing demi memastikan keadilan dapat didedahkan kepada umum berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hishamuddin yang juga merupakan bekas Menteri Tugas-Tugas Khas berkata, berkemungkinan besar desas-desus yang mengatakan Jho Low atau nama sebenarnya, Jho Taek Low berada di China adalah benar dan beliau mahu mencuba nasib mencarinya.
Jelas Ahli Parlimen Semborong itu, beliau mahu menggunakan hubungan baiknya dengan kerajaan China serta agensi di negara itu untuk menjejaki Jho Low dan membawanya pulang ke sini.
“Sebenarnya saya sudah mulakan misi ini baru-baru ini dengan menggunakan kenalan serta hubungan baik saya secara peribadi di China. Saya tidak pasti 100 peratus Jho Low di sana tetapi melalui risikan saya, saya akan cuba nasib.
“Saya berhasrat untuk mencari Jho Low kerana beliau merupakan induvidu yang mampu merungkaikan pelbagai kebenaran bukan untuk kerajaan BN sahaja sebaliknya untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Kita perlu mencari kebenaran ini dan saya akan buat apa yang mampu untuk jejak Jho Low dan membawanya pulang ke Malaysia. Sehingga lubang cacing saya akan cari, malah jika benar andaian kononnya China melindungi jutawan itu juga akan saya rungkai. Kita mahu tahu mengapa sedemikian.
“Selagi kita tidak hadapkan Jho Low ke mahmakah, selagi itu kita tidak akan selesai isu 1MDB ini. Negara ini hanya mampu maju ke depan dengan lebih baik sekiranya perkara ini dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.
Sebelum ini, ada laporan mengatakan usaha kerajaan Malaysia membawa pulang Jho Low semakin sukar kerana dia dipercayai mendapat perlindungan China.
Bagaimanapun, Hishammuddin menafikan tindakan beliau mendapat sokongan atau permintaan daripada Kerajaan Persekutuan ketika ini.
“Tidak benar berita-berita tentang Putrajaya meminta bantuan daripada saya ke China atau Timur Tengah. Saya lakukan ini bukan kerana permintaan mereka sebaliknya pengadilan itu perlu kita dapatkan.
“Saya tidak terikat dengan mana-mana pihak sebaliknya akan melaksanakan misi ini atas kapasiti peribadi. Saya mempunyai cara tersendiri untuk mencari Jho Low, malah akan ke China dalam masa terdekat ini,” tegasnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Mahathir juga pernah mendedahkan wujudnya tindakan sabotaj di dalam kerajaan antara sebab Malaysia sukar untuk mengenal pasti dengan tepat dan sukar memberkas Jho Low. – MalaysiaGazette