Home Seni Hidup Siti mahu dana untuk anak seni diwujudkan

Siti mahu dana untuk anak seni diwujudkan

KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berharap Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada 2 Nov depan mewujudkan satu dana untuk meningkatkan prestasi industri muzik tanah air.

“Dana ni penting pada waktu dan masa yang kita perlukan dan juga ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemu bual dalam program Ekspresi Selebriti terbitan Bernama Radio di Wisma Bernama hari ini.

Menurut Siti Nurhaliza, kebanyakan artis Malaysia yang membuat persembahan di peringkat antarabangsa menggunakan wang sendiri untuk menonjolkan bakat mereka.

“Hal ini terbukti apabila ada artis-artis kita membawa pulang pingat emas, anugerah-anugerah utama sekaligus membuktikan bahawa anak seni negara ini hebat. Tinggal lagi kita belum dapat peluang yang luas,” katanya.

Dalam temu bual tersebut, Siti juga menunjukkan kesediaannya untuk mendapatkan lagi khidmat komposer baharu seperti Hael Husaini untuk lagu-lagunya akan datang.

Beliau juga bersedia untuk mengambil mereka yang mempunyai vokal yang baik, bekerja keras, mempunyai bakat dan bersikap rendah diri untuk menjadi artis di bawah naungan Siti Nurhaliza Production Sdn Bhd (SNP).- BERNAMA