Home Politik Gerakan hilang Pulau Pinang kerana BN sekat ideologi?

Gerakan hilang Pulau Pinang kerana BN sekat ideologi?

Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai
Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai di ibu pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara PGRM, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 19 JUN 2017

KUALA LUMPURĀ – Sekatan yang dikenakan terhadap Parti Gerakan Rakyat Malaysia untuk memperjuangkan ideologinya ketika bersama Barisan Nasional (BN) antara punca utama parti itu hilang Kerajaan Pulau Pinang pada 2008.

Naib Presidennya, Datuk Dr Dominic Hoe Chai mendakwa, sekatan itu juga menyebabkan parti berbilang kaum itu gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen dan DUN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) 9 Mei lalu.

“Sebelum ini (dalam BN) mungkin kita banyak kekangan (had) dan banyak ideologi kami tidak boleh keluar atau diimplemantasikan.

“Sekarang Gerakan sudah keluar daripada BN dan kita sekarang menjadi parti politik bebas, sekarang kita boleh perjuangkan sepenuhnya ideologi kita.

“Saya merayu kepada semua ahli untuk bina semula Gerakan dan kita kena kembali kepada perjuangan asal,” katanya pada sidang media di Menara PGRM, Cheras, di sini, hari ini.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008, pertama kali Gerakan hilang Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan jatuh ke tangan DAP sejak 1969 memerintah negeri itu.

Ketika itu BN hanya memenangi dua kerusi daripada 13 Parlimen serta 11 kerusi daripada 40 DUN yang dipertandingkan di negeri dengan jolokan pulau mutiara itu.

Ditanya tentang ideologi Gerakan yang disekat, Dominic bagaimanapun enggan mendedahkan perkara terbabit dan hanya menyatakan kepelbagaian kaum adalah perjuangan parti itu.

“Kita adalah parti pelbagai kaum, kita sentiasa fokus kepada kesamarataan, keadilan dan ekuiti untuk masyarakat Malaysia.

“Masyarakat Malaysia ialah ideologi yang kita perjuangakan. Kita sentiasa sebut, kita semua anak Malaysia.

“Secara umumnya masing-masing ada satu agama, satu bangsa, satu budaya. Ini ideologi yang kita perjuangkan selama ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette