Home Ekonomi Potensi pelaburan bernilai RM2.84b dari Jepun, Korea Selatan

Potensi pelaburan bernilai RM2.84b dari Jepun, Korea Selatan

Darell Leiking

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah berjaya membawa pelaburan berjumlah RM2.84 bilion hasil lawatan misi perdagangan ke Jepun dan Korea Selatan baru-baru ini.

Misi galakan perdagangan dan pelaburan ke Jepun dan Korea Selatan berlangsung dari 14 hingga 21 Oktober lalu.

Misi tersebut melibatkan 91 perwakilan dari MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan ahli Exco Johor, Terengganu, Melaka, Pulau Pinang, serta syarikat syarikat dari Malaysia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata,kaedah 3 S iaitu Search, Seek dan Secure diguna pakai dalam misi galakan tersebut telah berjaya menarik potensi pelaburan berjumlah RM2.13 bilion dari Jepun terutama industri petrokimia, logistik, peralatan perubatan, elektrik dan elektronik, perkakas rumah dan perabot.

“Potensi import yang dimeterai dengan syarikat dari Osaka ialah sebanyak RM33 juta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Untuk misi galakan ke Korea pula, Darell berkata , pelaburan yang dijana ialah RM711.4 juta.

Menurutnya, pelaburan itu bertumpu kepada sektor bahan kimia, elektrik dan elektronik serta perkakas rumah.

“Manakala jualan berpotensi dianggarkan adalah RM1 bilion,” katanya sambil memberitahu misi galakan perdagangan dan pelaburan ini akan diteruskan pada tahun 2019.

Kementerian itu akan lebih fokus kepada rakan dagang utama dan rakan strategik Malaysia berdasarkan sektor fokus.

“Ini termasuklah ASEAN, Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah, India, Afrika Selatan, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE),” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette