KUALA LUMPUR – Harga tiket kapal terbang dari Ipoh ke Senai pernah mencecah RM1,074 pada musim perayaan Tahun Baharu Cina berikutan permintaan yang tinggi.
Pada musim perayaan Aidilfitri pula, tiket sehala dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu pernah menjangkau RM1,337 manakala harga ke Kuching mencecah RM1,142.
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, harga purata tiket kapal terbang menunjukkan trend penurunan, walaupun kenaikan harga pada musim perayaan khususnya Tahun Baharu Cina adalah hakikat yang tidak dapat dinafikan.
Keadaan tersebut, kata Nungsari, disebabkan keluarga Cina amat mementingkan persekutuan pada malam sebelum Tahun Baharu yang mana makan besar diadakan.
“Orang Cina akan bergegas balik ke kampung untuk makan malam dan ini berlainan dengan orang Melayu.
“Ketika Aidilfitri, perantau yang balik pada hari raya kedua pun tiada masalah dan kelewatan itu tidak akan menyebabkan mereka ditegur,” katanya kepada China Press.
Katanya, tiga laluan penerbangan yang mencatatkan kenaikan harga paling tinggi pada musim perayaan ialah Ipoh ke Senai, Senai ke Sibu dan Senai ke Kuching.
Tambahnya, ketiga-tiga laluan itu hanya ditawarkan oleh satu syarikat penerbangan sahaja.
Mengenai desakan supaya harga siling ditetapkan untuk mengelakkan penumpang membayar tambang terlalu tinggi, Nungsari berkata, cadangan itu mungkin memberi impak negatif.
Katanya, penetapan harga siling mungkin mendorong syarikat penerbangan menjual tiket menggunakan harga itu sepanjang tahun dan bukannya mengizinkan kuasa pasaran dalam penetapan harga.
“Selepas mengkaji amalan-amalan negara serantau, kami mendapati hanya Indonesia yang menetapkan harga siling.
“Sebab ini jugalah, harga tiket penerbangan di Indonesia adalah lebih tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette