SINGAPURA – Syarikat minyak Indonesia, Pertamina sedang berusaha untuk membeli minyak mentah untuk penghantaran pada suku pertama 2019 menggunakan mata wang lain.
Pendekatan ini dilihat untuk membendung defisit akaun semasa yang melebar disebabkan oleh kenaikan harga minyak dan sebagai usaha mengekalkan mata wang rupiah.
Kedudukan rupiah berada paras paling lemah sejak krisis kewangan Asia dan prestasi kedua terburuk dalam kalangan mata wang Asia yang baharu muncul.
Syarikat itu berusaha untuk membeli sehingga 5.7 juta tong rendah sulfur, atau minyak mentah yang dihasilkan di Afrika Barat, Malaysia, Vietnam atau Brunei dalam mata wang seperti euro, rupiah, yuan, yen dan riyal .
Kargo-kargo tersebut akan dihantar ke kilang penapisan di Cilacap, Balikpapan dan lokasi pemindahan kapal ke Teluk Semangka antara Januari dan Mac 2019.
Tender itu ditutup pada hari Isnin dan tawaran itu sehingga 26 Oktober ini.
Pertamina telah menerima beberapa tawaran dalam mata wang lain, manakala beberapa penjual memilih untuk berpegang dengan tawaran dalam dolar Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette