Home Utama Najib, Irwan, Hasanah didakwa serentak esok

Najib, Irwan, Hasanah didakwa serentak esok

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah akan didakwa di mahkamah esok.

SPRM dalam satu kenyataan di sini berkata, pihaknya telah mendapat izin mendakwa dari Pejabat Peguam Negara.

“Kedua-duanya akan dituduh bersama berhubung siasatan beberapa kes pecah amanah yang telah dilakukan oleh mereka melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia.

“Najib dan Mohd. Irwan Serigar akan hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2018 pukul 7.30 pagi untuk pertuduhan tersebut,” kata kenyataan yang diedarkan kepada media sebaik bekas Perdana Menteri itu selesai memberi keterangan selama tiga jam pukul 5 petang tadi.

MGF24102018_SPRM_10
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beredar selepas memberi keterangan mengenai siasatan berhubung urusan 1MDB dan Firma Pelaburan Abu Dhabi International Petroleum Investment Company (IPIC) di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 24 OKTOBER 2018

Najib dan Irwan telah dipanggil di Ibu Pejabat SPRM di sini bagi melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan tersebut.

Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM turut mendapat izin mendakwa bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Ab. Hamid berhubung isu pecah amanah melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia.

MGF29082018_HASANAH SPRM04 (1)
Suspek, Datuk Hasanah Abdul Hamid diiringi pegawai SPRM hadir ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman kes salah guna dana PRU14 di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya pada 29 Ogos lalu. foto SYAFIQ AMBAK.

Hasanah akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari yang sama dan mengikut seksyen yang sama. – MalaysiaGazette