PETALING JAYA – Susulan penahanan seorang pengajar aktiviti riadah berkumpulan yang didakwa mencabul pelajar lelaki sekolah menengah, pengajar yang diibaratkan sebagai “berimej sihat dan terhormat” itu dijangka berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Putrajaya pada Jumaat ini.
Sinchew Daily melaporkan, polis telah menerima aduan terhadap suspek pada awal bulan ini yang didakwa memaksa mangsa melakukan seks di luar tabii sekurang-kurangnya tiga kali.
Selain itu, suspek juga berdepan kes pencabulan dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Suspek yang telah berkecimpung dalam aktiviti riadah berkumpulan selama 10 tahun merupakan pengajar berpengalaman yang banyak bergaul dengan remaja sekolah.
Susulan penahanannya, ramai bekas pelajarnya juga tampil berkongsi pengalaman dicabul suspek.
Suspek dikatakan mengajak mangsa ke rumahnya untuk mengadakan latihan tarian atau membincangkan aktiviti yang akan dijalankan.
Mangsa kemudian akan diajak untuk menonton bahan lucah, suspek kemudian mendorong mangsa melakukan onani, malahan seks oral.
Sesetengah kes dikatakan berlaku pada tujuh atau lapan tahun lalu, tetapi mangsa-mangsa memilih berdiam diri.
Seorang mangsa menceritakan melalui Facebook bagaimana dia diajak untuk bermalam di rumah suspek, tetapi diintai serta dirakamkan semasa sedang mandi.
Suspek dikatakan meminta maaf dan meminta mangsa tidak melakukan laporan polis. – MalaysiaGazette