Home Politik Asyraf letak jawatan, gagal pertahan Zahid

Asyraf letak jawatan, gagal pertahan Zahid

Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki hari ini dicabar meletakkan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO selepas gagal mempertahankan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam membuat cabaran itu apabila Pergerakan Pemuda UMNO yang diketuai Asyraf mahu menasihatkan Ahmad Zahid bercuti kerana kes mahkamah yang dihadapinya.

“Kalau betul nak perang, kalau menukar kepimpinan boleh menjamin kekuatan parti dengan tidak memberi peluang kepada presiden memulakan jelajah ini, saya cabar kamu letak jawatan,” katanya yang bersiaran langsung di akaun Facebooknya malam ini.

Beliau mengulas kenyataan Asyraf Wajdi petang tadi yang menggesa Ahmad Zahid bercuti buat sementara waktu daripada menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.

Langkah itu bagi membolehkan Ahmad Zahid memberi tumpuan kepada 45 pertuduhan berkaitan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di mahkamah.

Lokman juga mencabar Asyraf Wajdi membubarkan Pergerakan Pemuda UMNO bagi membolehkan beliau bertanding untuk merebut jawatan sayap parti itu melalui pemilihan semula.

“Kamu buat pemilihan semula, kamu bubarkan Pemuda UMNO. Saya akan letak jawatan saya sebagai ahli MT UMNO dan saya akan lawan kamu sebagai ketua pergerakan.

“Kalau kamu tak boleh memimpin Pemuda UMNO untuk mempertahankan parti, bubarkan pemuda kerana kamu jelas telah gagal.

“Sudahlah gagal, ada hati suruh presiden letak jawatan. Islam mana yang ajar ini?” soalnya.

Lokman berkata lagi, selagi MT UMNO tidak bermesyuarat dan menyatakan pendirian terhadap kemelut yang dihadapi oleh Ahmad Zahid, Pemuda UMNO tidak sewajarnya menggesa beliau berehat atau meletakkan jawatan.

“Saya nak beritahu kalau mesyuarat MT UMNO memutuskan bahawa presiden perlu berehat atau meletakkan jawatan setelah didakwa oleh musuh kita.

“Kalau didakwa oleh kita sendiri atau oleh sebuah kerajaan yang adil saya boleh terima, tapi hari ini memang nampak jelas tak adil,” katanya.

Lokman turut mempersoalkan tindakan Asyraf Wajdi yang dilihat seolah-olah membawa agenda Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memecah-belahkan UMNO dari dalam parti.

“Saya nak beritahu Asyraf, ramai ejen Mahathir hari ini sedang bergerak dalam parti (UMNO). Mereka nak pastikan kalau tak boleh hancurkan UMNO dengan menahan Datuk Seri Najib Razak, Zahid Hamidi dan Datuk Azeez Rahim, mereka merancang untuk memorak-perandakan parti dari dalam.

“Saya nak tanya Asyraf, agenda siapa dia bawa? Adakah kerana bapa dia bekas setiausaha Mahathir? Adakah ini agenda bapa kamu?

“Hari ini kamu sibuk suruh Datuk Zahid bercuti. Tak boleh fikir ini boleh mengundang perpecahan dalam UMNO sendiri? Apa tujuan pecahkan dalam UMNO, apa tujuan nak laga-lagakan pemimpin dalam UMNO ini,” soalnya lagi. – MalaysiaGazette

 

Pemuda UMNO cadang Zahid bercuti