Home Politik UMNO, sudah nazak tapi masih ‘berlagak’

UMNO, sudah nazak tapi masih ‘berlagak’

Sebahagian bekas UMNO Bahagian Batu, Wilayah Persekutuan yang sempat menemui MalaysiaGazette sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai lebih 150 ahli UMNO Bahagian Batu Wilayah Persekutuan bertindak meninggalkan parti keramat itu sebelum bertindak menyertai parti Amanah Negara (Amanah) hari ini.

Malah rata-rata yang keluar serta merta ini mempunyai jawatan dari peringkat bahagian sehingga ke peringat cawangan.

Jurucakap kumpulan itu yang sempat bercakap dengan Malaysia Gazette melahirkan rasa kecewa tidak terhingga dengan pucuk pimpinan yang masih lagi bertelagah sesama sendiri kerana jawatan.

Bekas Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu, Andher Supardy Lazuardi berkata, sehingga kini, kekalahan besar pada PRU-14 sebenarnya langsung tidak memberi pengajaran dengan pemimpin khas dalam kalangan kepimpinan tertinggi.

Sebaliknya, segala omongan konon mahu perubahan dan UMNO bangkit hanya sekadar kata-kata malah sehingga kini tiada kata sepakat.

“Kami sebenarnya sudah muak. Saya sendiri sudah duduk dalam UMNO lebih 20 tahun, dari kami zaman muda lagi seawal usia 18 tahun. Kami dari akar umbi sentiasa setia tidak berbelah bahagi tetapi kini kami bukan lari dari hakikat kami tidak lagi relevan.

“Sebaliknya, kami bosan. Sudahlah UMNO kini sudah nazak dan perlukan penjenamaan serta perubahan positif tetapi apa yang sedang dilakukan oleh pemimpin di atas sana? Bergaduh sesame sendiri? Melabel sesuka hati dan sebagainya.

“Apakah benar UMNO sedang melalui fasa perubahan jika hakikat sebenarnya mereka tidak berubah dan UMNO akan hancur jika terus diterajui oleh kepimpinan sedemikian. Kami mahiu berbakti kepada rakyat, kepada komuniti dan negara. Dan jika mereka-mereka ini masih di takuk lama, kami putus asa. Cukuplah ,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Selain daripada menyerahkan borang penyertaan ke dalam parti Amanah, bekas UMNO Batu ini dijangka akan membawa masuk lebih 300 ahli dalam masa terdekat.

Bagi bekas Ketua Cawangan UMNO Suajaya, Fairul Iskandar Faizil De Souza berkata, rata-rata mereka memilih Amanah kerana ianya menepati apa yang dilakukan oleh mereka selama ini.

“Kami ambil simbolik maksud ‘hijrah’ dari satu tempat ke tempat yang lebih baik, Amanah ini adalah pilihan kami. Perjuangan kami juga difahami dan tepat dengan perjuangan parti ini malah kami telah diterima dengan baik sekali tanpa apa-apa kegusaran,” ujarnya. –MalaysiaGazette