SHAH ALAM – Peguam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, hari ini, memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mendapatkan pengisytiharan berhubung tindakan yang dikenakan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke atasnya baru-baru ini.
Peguam, Kamaruddin Ahmad berkata, beliau menerima arahan daripada anak guamnya, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berbuat demikian berikutan ketika ucapannya pada sidang DUN itu, beliau sebagai wakil rakyat mendapat perlindungan di bawah Artikel 77 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, berdasarkan terjemahaan sebenar Peraturan Tetap DUN Selangor 36 (6), ucapan anak guamnya tidak melanggar atau bertentangan dengan peraturan itu.
“Ucapan tersebut juga tidak melanggar mana-mana peraturan tetap yang ada di DUN Selangor dan ucapan itu adalah untuk kepentingan awam,” katanya kepada pemberita selepas memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Shah Alam, di sini, hari ini.
Mat Nadzari dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor berhubung satu kenyataannya ketika sidang DUN 1 November tahun lalu.
Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat isi ataupun niat dalam pentadbiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk tidak mengiktiraf sistem raja berperlembagaan.
Berikutan itu, satu pendengaran tertutup dijalankan DUN Selangor berhubung satu usul di bawah peraturan tetap 26(1)(p) oleh ADUN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Kim yang telah dibentang dan diluluskan DUN Selangor pada November tahun lalu.
Menurut Kamaruddin, berikutan itu, beliau bagi pihak anak guamnya memohon satu penentuan daripada pihak Mahkamah Tinggi Shah Alam supaya mereka tahu sama ada Mat Nadzari melanggar atau tidak mana-mana Peraturan Tetap DUN Selangor.
Katanya, pihak mahkamah akan memaklumkan keputusan saman pemula itu kepadanya dalam tempoh dua bulan dari sekarang.
“Sebelum itu, mahkamah akan memanggil pihak defendan terlebih dahulu untuk memberi jawapan kepada saman pemula ini dan selepas itu kita akan dimaklumkan oleh mahkamah mengenai keputusannya nanti,” katanya.
Ditanya mengenai keputusan jawatankuasa itu untuk menentukan hukuman ke atas Mat Nadzari pada persidangan DUN akan datang, beliau berkata, apabila pihaknya sudah memfailkan tindakan itu di mahkamah, Jawatankuasa Hak dan Bebebasan tidak boleh membawa laporan mereka kepada persidangan DUN kerana ia akan menjadi subjudis.
Menjawab soalan, Kamaruddin berkata, beliau tidak nafikan hak DUN Selangor untuk mengambil tindakan ke atas anak guamnya.
“Kita hanya berpendapat bahawa tidak ada pelanggaran mana-mana peraturan tetap. Oleh itu, hak DUN itu boleh kita katakan melangkaui batasan kuasa dewan negeri,” tegasnya. – MalaysiaGazette