Home Sukan Doping membunuh sukan – Syed Saddiq

Doping membunuh sukan – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Isu doping atau pengambilan bahan terlarang oleh atlet bukan hanya bercanggah dengan semangat kesukanan, tetapi ia akan membunuh sukan secara tidak langsung, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Meluahkan rasa kecewanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Syed Saddiq berkata pihaknya bersama Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu doping agar tidak menjadi ‘barah’ dalam kalangan atlet.

“Doping merupakan isu yang membunuh sukan secara langsung atau tidak langsung bukan sahaja kerana bercanggah ‘spirit of sports’ (semangat kesukanan) tetapi pada masa sama, kalau seseorang atlet itu mengambil doping dan orang lain tidak ambil, akhirnya mereka (yang tidak mengambil bahan terlarang) terletak di belakang.

“Kalau kita tak menangani isu ini dengan serius ia akan menyebabkan wabak di mana semua atlet khususnya atlet muda terpaksa mengambil dadah seperti ini supaya akhirnya mereka menang dalam sukan,” katanya pada sesi soal jawab lisan hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bebas-Bagan Serai) yang ingin tahu tindakan kementerian bagi menangani isu doping dalam kalangan atlet negara.- BERNAMA