Home Seni Hidup Saiful Apek kini selesa jadi pakar motivasi

Saiful Apek kini selesa jadi pakar motivasi

Saiful Apek kini sering diundang ke majlis forum dan keagamaan untuk berkongsi pengalaman hidupnya.

KUALA LUMPUR – Pelawak, Saiful Apek mengakui dia kini selesa menjadi pakar motivasi dan moderator dalam forum di masjid, universiti dan sekolah sejak dua tahun lalu.

Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd. Saifulazam Mohammad Yusoff berkata, dia sendiri tidak menyangka dapat bergandingan dengan nama-nama besar golongan agamawan terkenal.

Namun kata lelaki berusia 49 tahun itu, dia tidak pernah terfikir menjadi ustaz kerana kemunculannya dalam satu forum atau program keagamaan lebih kepada berkongsi pengalaman hidupnya.

“Apa yang terjadi kepada saya selama ini, mungkin boleh menjadi inspirasi kepada mereka yang hadir. Pada mulanya penganjur takut hendak jemput saya kerana risau dikenakan bayaran tinggi dan berperangai diva.

MGF27102018_MFBODYMIST_14
Saiful Apek tetap mahu menjadi diri sendiri walaupun menjadi moderator dan pakar motivasi di program berbentuk keagamaan.

“Namun bila sudah berurusan, baru mereka tahu cara kerja yang mudah dan tidak berkira serta hanya disediakan token. Selepas itu dari mulut ke mulut, saya banyak mendapat jemputan.

“Pada masa sama, saya juga rasa tidak adil hendak kenakan bayaran kerana bukan saya buat show. Sekadar datang dan bercakap tentang kisah hidup,” katanya yang hadir ke Malaysia Gazette baru-baru ini.

Bapa kepada dua anak lelaki itu menambah, menjadi pakar motivasi, dia hanya menjadi dirinya dan tidak perlu berjubah mengikut kesesuaian program.

Jelas ahli kumpulan Senario itu, perubahan diri tidak memerlukan penampilannya turut bertukar dan dia mahu dikenali seperti mana orang mengenalinya sebagai Saiful Apek.

MGF27102018_MFBODYMIST_13
Menjengah usia 49 tahun, Saiful Apek bersyukur dengan rezeki yang masih ada.

“Saya pernah sepentas bersama Ustaz Azhar Idrus dan saya tanya beliau dulu bagaimana pakaian yang perlu saya pakai.

“Beliau kata ‘mu tak payah pakai jubah, mu jadi dirimu sebab orang sudah kenal mu macam mana mu sebelum ini. Janji mu menutup aurat’,” katanya ketawa.

Menyelami hati lelakinya, dia mengakui sudah benar-benar matang menghadapi kehidupan. Dugaan yang bersilih ganti dilalui dengan tenang dan membuatkan dia tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini.

“Apa lagi yang saya tak lalui? Pernah berada di puncak kejayaan dan dalam masa yang sama juga pernah berhadapan dengan fasa kegelapan. Ini yang membuatkan saya sedar kehidupan kita tidak menjanjikan apa-apa melainkan kita sendiri yang mengubah nasib diri.

MGF27102018_MFBODYMIST_10
Saiful Apek kini menceburi bisnes produk haruman badan.

“Paling penting, saya perlu bersyukur kerana masih dikurniakan rezeki oleh Allah dalam karier lain pula ketika rakan artis lain masih berjuang mencari rezeki yang kadang ada dan tidak menentu,” katanya berterus-terang.

Pada masa sama, Saiful Apek mengakui tidak menggalakkan dua anaknya, M. Riyadh Aslam, 23, dan M. Radzin Aiman, 20, menceburi bidang seni sebaliknya biarlah di sebalik tabir sahaja.

Katanya, anak sulungnya sedang mengikuti kursus perfileman di salah sebuah universiti awam manakala anak keduanya pula berminat untuk terjun ke dalam bidang muzik.

“Puas saya sorok mereka selama ini sebab saya bukan jenis bapa yang menonjol anak-anak kerana mereka berhak menikmati kehidupan yang normal sepeti anak-anak lain.

“Saya pula pelawak dan tidak mahu anak-anak menjadi bahan ejekan rakan-rakan atau masyarakat,” katanya serius.

MGF27102018_MFBODYMIST_22
Bersama rakan bisnesnya, Nor Suhana Abd Rahman.

Sementara itu bercerita tentang perancangan terbaharunya, Saiful Apek berkata, dia baru sahaja menceburi bidang perniagaan dengan mengeluarkan produk haruman badan yang dikenali Tiger untuk lelaki dan Tigress untuk wanita.

Katanya, orang ramai yang ingin membeli produk itu boleh melayari laman sosial Instagram @saifulapek dengan harga hanya RM59 sahaja.

Tambahnya lagi, produk dengan kerjasama usahawan yang sudah lama berkecimpung dalam dunia bisnes haruman badan iaitu Nor Suhana Abd Rahman buat permulaan dikeluarkan sebanyak 1,000 unit di pasaran bersaiz 100 mililiter. – MalaysiaGazette