Home Nasional Mat Nadzari akan hadir sidang DUN

Mat Nadzari akan hadir sidang DUN

Mat Nadzari Ahmad Dahlan

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan akan hadir ke perisangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dijadualkan bulan ini.

Ujarnya, walaupun beliau dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor, tetapi tidak ada sebarang keputusan diputuskan mengenai kedudukannya sebagai wakil rakyat.

“Saya tidak didapati bersalah buat masa ini dan saya masih wakil rakyat.

“Hukuman pun belum dijatuhkan. Jadi, saya berhak untuk hadir dan saya akan hadir ke sidang DUN nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas beliau bersama peguamnya, Kamaruddin Ahmad memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Shah Alam, di sini, hari ini.

Pada sidang DUN Selangor 1 November tahun lalu, Mat Nadzari mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat isi ataupun niat dalam pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk tidak mengiktiraf sistem raja berperlembagaan.

Berikutan kenyataan itu, Speaker DUN, Hannah Yeoh mengenakan tindakan menghadapkan ADUN Batang Kali itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN.

Bagaimanapun, pada mesyuarat jawatankuasa itu 21 Februari itu, sepakat untuk membawa kes itu ke sidang DUN akan datang bagi membolehkan ADUN membuat keputusan sama ada Mat Nadzari bersalah atau sebaliknya.

Hannah turut berkata, prosiding Dewan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Mengulas lanjut, Mat Nadzari berkata, beliau akan melihat apa yang patut dilakukan selepas ini. – MalaysiaGazette