KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menafikan dirinya mempunyai niat untuk melompat parti sekaligus meninggalkan UMNO untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Malah Ahli Parlimen Padang Rengas itu melahirkan rasa ingin tahu dengan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin yang mendakwa seramai 40 ahli parlimen UMNO akan ‘melompat’ menyertai Bersatu.
Mohamed Nazri yang juga merupakan bekas Menteri Kebudayaan dan Pelancongan berkata, mengapa kerusi yang dimiliki oleh wakil UMNO menjadi perhatian walhal kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah mempunyai 117 kerusi.
“Pertama, saya tidak berniat tidak pernah terfikir untuk melompat dan menyertai PPBM. Tidak pernah terlintas langsung dalam fikiran saya. Saya akan tetap dengan UMNO.
“Kedua, apakah sebenarnya agenda kenyataan seperti ini dibuat? Mengapa tunjuk minat dengan ahli parlimen UMNO apabila PH sudah miliki kedudukan kerusi yang lebih kukuh,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen petang tadi.
Beliau mengulas dakwaan Kadir pada Sabtu lepas ada segelintir daripada jumlah 40 ahli parlimen UMNO sudah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi seperti Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hasrat ‘lompat’ serta menyertai PPBM.
Sementara itu, Mohamed Nazri juga mempelawa Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk kembali ke pangkuan UMNO demi survival politiknya pada masa depan.
Jelas beliau, UMNO sebenarnya bersedia untuk memberi ‘perlindungan’ kepada Mukhriz selepas ‘pengunduran’ bapanya yang juga Perdana Menteri kelak.
“Saya pelawa Mukhriz pula untuk masuk UMNO sebab ini adalah parti Melayu. PPBM mungkin tiada masa depan selepas ‘pengunduran’ Mahathir dan Muhyiddin kelak.
Semalam, Mukhriz berkata, parti itu kini sudah pun mempunyai 14 wakil dalam Parlimen dan Pengerusi Bersatu sudah pun menyatakan kesediaan menerima sesiapa sahaja dengan memenuhi beberapa syarat tertentu.
“Kita tidaklah terlalu terbuka sehingga individu seperti Ahli Parlimen Pekan (Datuk Seri Najib Razak), Bagan Datuk (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), Baling (Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim) dan Nazri Abdul Aziz nak masuk, itu tak bolehlah dan tak payahlah, kerana mereka ini dalam senarai yang tidak akan kami pertimbangkan.
“Jadi, bagi yang lain-lain jika berminat untuk menyertai kita adalah amat dialu-alukan dengan syarat mereka harus meninggalkan amalan yang tidak baik dan sihat ketika berada dalam UMNO dan mendukung budaya politik baru mengikut PH terutama Bersatu,” ujarnya. – MalaysiaGazette