KUALA LUMPUR – Perodua meraih Emas di Anugerah Jenama Putra 2018 – kemenangan Emas kali kedua berturut-turut sebagai jenama automotif kegemaran rakyat Malaysia.
Anugerah Jenama Putra ini mengiktiraf jenama-jenama kegemaran Malaysia berdasarkan temuramah dengan orang ramai.
Perodua telah memenangi sebanyak lapan anugerah sepanjang sembilan tahun acara ini diadakan dan meraih Emas yang pertamanya pada tahun lepas.
“Kami amat gembira dan dalam masa yang sama berasa rendah hati dengan pengiktirafan ini. Kami akan terus memperbaiki diri kami dengan menawarkan produk dan perkhidmatan yang terbaik khususnya kepada para pelanggan kami,” kata
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.
Acara ini telah dianjurkan oleh Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) dan disokong oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Pada tahun ini, penganjur telah bekerjasama dengan firma penyelidikan dan perundingan pasaran global, IPSOS untuk menyusun sampel penyelidikan jenama-jenama terbesar di Malaysia, dengan lebih daripada 7,000 wawancara yang dijalankan.
Dilancarkan pada tahun 2010 oleh 4As dengan kerjasama Jenama Paling Bernilai Malaysia (MMVB), Anugerah Jenama Putra ini telah disokong oleh Persatuan Pengiklan Malaysia, Persatuan Pakar Media dan Persatuan Digital Malaysia. – MalaysiaGazette