Home Nasional Media mula berkumpul di KLIA

Media mula berkumpul di KLIA

Wartawan mula membanjiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi membuat liputan pengusiran Kang Chol.

KUALA LUMPUR – Kira-kira lebih 100 wartawan dan pengamal media tempatan serta antarabangsa mula membanjiri perkarangan balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seawal jam 11 pagi tadi.

Ia berikutan pengusiran Duta Besar Korea Utara, Kang Chol oleh Kementerian Luar setelah mengiktiraf beliau sebagai Pesona Nan Grata.

Persona Non Grata diterjemahkan secara kasarnya sebagai `Orang yang Tidak Dihargai’, seseorang yang diisytiharkan sedemikian dilarang masuk atau terus berada di sesebuah negara.

Ia adalah bentuk kecaman yang paling serius yang boleh dikenakan ke atas seseorang diplomat asing.

Tindakan ke atas Kang Chol dibuat apabila beliau gagal hadir setelah dipanggil ke Kementerian Luar di Putrajaya dan dijadualkan bertemu Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala kementerian, Raja Nushirwan Zainal Abidin jam 6 petang pada Sabtu lalu.

Kerajaan Malaysia menuntut Kang Chol membuat permohonan maaf selepas membuat tuduhan proses siasatan penyiasatan terhadap warga negara Korea Utara yang meninggal dunia pada 13 Februari lalu menunjukkan Malaysia mempunyai sesuatu yang hendak disembunyikan dan Malaysia bersekongkol dengan kuasa luar untuk memburukkan negaranya.

Tinjauan yang dibuat oleh krew Malaysia Gazette di perkarangan kedutaan negara itu mendapati dua buah kenderaan telah meninggalkan Kedutaan Korea Utara. – MalaysiaGazette.