Home Politik Penyertaan ke dalam Bersatu tak dibuat tergesa-gesa – Mustapa

Penyertaan ke dalam Bersatu tak dibuat tergesa-gesa – Mustapa

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed bercakap pada sidang media lhas PPBM di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 26 OKTOBER 2018

KOTA BHARU – Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata penyertaan beliau ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak dilakukan secara tergesa-gesa.

Malah, bekas anggota Majlis Tertinggi UMNO itu berkata beliau telah memikirkan perkara berkenaan semasak-masaknya sepanjang sebulan menjadi wakil rakyat bebas.

“Hampir sebulan saya melakukan solat sunat istikharah dan solat sunat hajat selain perbincangan dengan beberapa pihak.

“Ia bukan satu keputusan yang dibuat dengan cara tergesa-gesa dan saya bersyukur tindakan yang diambil adalah tepat,” katanya pada sidang akhbar di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mustapa menyertai Bersatu pada Jumaat lepas selepas menyerahkan borang keanggotaan kepada Pengerusi Bersatu yang juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada satu majlis di Petaling Jaya.

Susulan tindakan Mustapa itu, landskap DUN Kelantan yang mempunyai 45 kerusi berubah dengan 37 kerusi dikuasai PAS, tujuh oleh Barisan Nasional (BN) dan satu Pakatan Harapan (PH).

Mengulas mengenai gesaan beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan yang menggesa Mustapa yang juga ADUN Air Lanas menjadi ‘jambatan’ antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan berhubung tuntutan royalti, Mustapa berkata beliau merupakan ‘orang baharu’ dalam PH.

“Perkara tersebut perlu dibincangkan oleh pihak berkenaan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan sebagai orang baharu saya kena lihat dahulu perkara berkenaan.

“Namun, melalui persidangan DUN saya akan dapat mengumpulkan maklumat (dari Kelantan) dan akan memaklumkannya kepada pemimpin di Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya beliau akan membantu sebaik mungkin Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin yang merupakan satu-satunya anggota Kabinet dari Kelantan.

“Saya dah jumpa Mohd Radzi yang merupakan satu-satunya wakil Kelantan (dalam Kabinet) dan saya akan bantu beliau sebaik mungkin agar segala hasrat kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik.

“Sudah pasti saya akan tunjukkan penghijrahan saya membawa faedah dan beberapa hari lepas saya ada mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan Bersatu Kelantan bagi membincangkan hala tuju (kerajaan persekutuan di Kelantan),” katanya.

— BERNAMA