Home Nasional Usir Duta Korea Utara, dunia tahu tindakan Malaysia betul

Usir Duta Korea Utara, dunia tahu tindakan Malaysia betul

Hishamuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin dunia akan menyokong tindakan Malaysia mengusir keluar Duta Korea Utara, Kang Chol yang disifatkan sudah melampaui batas, malahan negara lain yang berada dalam situasi dihadapi negara pasti akan mengikut langkah sama.

Hishamuddin berkata tindakan menghalau Kang Chol sebagai langkah betul setelah mengambil kira faktor dasar kepentingan kepada negara untuk menunjukkan pendirian tegas Malaysia di atas kebiadapannya.

“Sudah saya sebutkan sebelum ini memang kita anggap kenyataan beliau adalah biadap dan apa yang diluahkan beliau kita tidak tahu apa pertimbangannya.

“Kita buat (usir) berdasarkan kedaulatan dan undang-undang negara kita, melalui proses sedia ada dan saya percaya dunia tahu apa yang kita lakukan itu betul kerana sebagai sebuah negara yang berdaulat dan situasi yang sama, saya yakin mereka juga akan membuat perkara yang sama,” kata Hishammuddin ketika ditemui media di lobi Parlimen selepas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad Kelima merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Majlis Parlimen Yang Ketiga Belas hari ini.

Kelmarin, Kang Chol diberikan masa 48 jam untuk keluar daripada negara ini selepas gagal menghadirkan diri di Wisma Putra dan membuat permohonan maaf secara bertulis kepada kerajaan Malaysia.

Pada 13 Februari dunia dikejutkan pembunuhan Kim Jong-nam apabila dua wanita menghampirinya dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang telah disembur dengan cecair beracun di LapanganTerbang Antarabangsa KL 2 (klia2) .

Jong-nam telah meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang itu dan segera dibawa ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Beliau datang ke Malaysia pada 6 Februari dan menggunakan pasport yang tertera nama Kim Chol. – MalaysiaGazette