Home Nasional Hukuman dadah mesti setimpal jika mansuh mati mandatori

Hukuman dadah mesti setimpal jika mansuh mati mandatori

Zulkifli Abdullah

KUALA LUMPUR – Hukuman kepada pesalah dadah di negara ini mesti setimpal walaupun bukan dengan hukuman mati, kata Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

“Tapi itu bukannya keputusan atau rumusan terakhir. Yang penting impak kita nak tangani isu dadah ini kena dibuat secara holistik dan menyeluruh,” ujarnya ketika ditemui semasa sidang media selepas operasi AADK di sini awal pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan kerajaan yang mahu memansuhkan hukuman mati mandotari termasuk pesalah yang turut dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah.

Di negara ini, kaedah pelaksanaan hukuman mati adalah menerusi teknik gantung bagi kesalahan membunuh dengan niat, mengedar dadah melebihi jumlah yang ditetapkan dan kesalahan bersabit pemilikan senjata api.

Sebelum ini, di bawah pindaan kepada Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, memaktubkan mana-mana orang yang disabitkan dengan kesalahan pengedaran dadah berbahaya hendaklah dihukum dengan hukuman mati atau dengan pemenjaraan seumur hidup yang mana dia boleh juga dikenakan hukuman sebat.

Mengulas lanjut, Zulkifli yang merupakan bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman percaya kerajaan telah memikirkan langkah wajar sebelum membuat keputusan bagi memansuhkan hukuman tersebut kepada pesalah yang terlibat dengan dadah.

Sebarang hukuman yang dikenakan ke atas individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah merupakan satu bentuk halangan bagi mengelak jenayah itu daripada terus berlaku.

Zulkifli turut menyifatkan aktiviti tersebut akan ‘mati’ sekiranya tiada lagi permintaan.

Mengambil contoh sesuatu bidang perniagaan akan berkubur jika tidak mendapat sambutan, Zulkifli berkata, apa jua bentuk hukuman berkaitan dadah tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya masih terdapat permintaan dalam kalangan penggunanya.

“Permintaan terhadap dadah ini kalau masih tinggi mereka-mereka yang terlibat dalam mengedarkan ini akan mengambil risiko, sebab dia rasa pulangannya besar.

“Tetapi kalau tidak ada permintaan dengan sendirinya (aktiviti) akan mati. Apa juga bisneslah, kalau kita lihat macam-macam perniagaan ada.

“Kita tengok kalau dulu perniagaannnya maju sekarang dah tutup sebab tidak ada permintaan. Jadi, dalam konteks ini dadah pun sama,” katanya.

Menurut Zulkifli,  langkah serius yang perlu diambil bagi menyelesaikan masalah penyalahgunaan dadah adalah dengan menentukan keberkesanan terhadap program-program pencegahan yang bermula di peringkat rendah.

Meskipun langkah itu akan memakan masa, namun katanya, ia harus dimulakan dan penekanan harus bertumpu kepada generasi muda dan dari peringkat umur yang rendah agar tidak timbul keinginan dalam diri untuk mengambil atau mencuba sebarang bentuk penggunaan dadah. – MalaysiaGazette