Home Politik Mazlan Bujang, bakal MB Johor yang baharu?

Mazlan Bujang, bakal MB Johor yang baharu?

Mazlan Buujang

AKHIR-akhir ini kita dapat lihat Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian sering dikecam
oleh rakyat Johor kerana disiplin yang teruk ditunjukkan dan sering membuat kenyataan
yang melulu.

Bukan itu sahaja, malah beliau juga pernah ditegur oleh Pengerusi Pakatan
Harapan Johor, Tan Sri Muhiyiddin Yassin kerana tindakannya mengeluarkan kenyataan
yang bersikap kejam terhadap rakyat Johor di mana enggan memberi peruntukan ahli dewan undangan negeri pembangkang di negeri Johor.

Terbaharu, ada satu khabar angin yang mengatakan bahawa Part Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor bakal dirombak semula.

Adakah ini bermakna negeri Johor bakal mempunyai Menteri Besar yang baharu dalam tempoh kurang daripada setahun?

Biarpun, Osman masih menyandang jawatan sebagai Menteri Besar Johor namun nama Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan, Mazlan Bujang Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan, Khuzzan Abu Bakar negeri disebut-sebut untuk menggantikan tempat beliau.

Malah, akhir-akhir ini juga kelihatan tindak tanduk Menteri Besar dengan exco-exco
Negeri Johor tidak sekufu atau tidak sehaluan lagi dalam membuat sesuatu keputusan
mengenai hal ehwal negeri Johor.

Misalnya, tempoh hari Mazlan ada mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan pembinaan semula jambatan bengkok dan dapat dilihat Mazlan sememangnya tidak ada halangan untuk menolak projek berkenaan.

Malah beliau juga berpendapat bahawa jambatan bengkok ini relevan untuk
diwujudkan bagi menjana pendapatan negeri.

Persoalannya adakah ini salah satu taktik yang digunakan oleh Mazlan untuk
mengambil hati Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad?

Maklumlah seperti yang kita ketahui projek jambatan bengkok ini sudah sekian lama menjadi impian besar Dr Mahathir sejak bergelar Perdana Menteri Ke-4. Jadi tidak hairanlah jika Mazlan Bujang ingin melayan ‘kerenah’ Mahathir yang sebelum di tolak oleh banyak pihak.

Tetapi tiada angin tiada ribut, tiba-tiba sahaja semalam (30 Oktober 2018), Osman  telah mengeluarkan satu kenyataan yang bercanggah dengan kemahuan Mazlan.

Dalam satu laporan Malaysiakini, Osman mengutarakan usul bahawa pembinaan jambatan ketiga bakal dibincangkan kerajaan Johor dalam satu mesyuarat di Singapura pada bulan hadapan.

Jadi timbul kekeliruan di sini, apakah perancangan sebenar untuk pembangunan di Johor?
Jambatan bengkok seperti kemahuan Mazlan atau jambatan ketiga yang diusulkan
oleh Osman?

Bukan itu sahaja, Osman juga mempunyai kenyataan yang bercanggah dengan
salah seorang lagi exco negeri iaitu Exco Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan
Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse berhubung dengan pengambilan ahli UMNO.

Sebelum ini, Jimmy berkeras menolak ahli UMNO diserap masuk ke dalam Pakatan Harapan (PH) tetapi lain pula di pihak Osman yang mengalu-alukan kedatangan ahli UMNO ke dalam PH. Jadi yang mana sebenarnya betul?

Melihat percanggahan demi percanggahan ini, adakah sememangnya benar Osman dengan exco-exco negeri sudah tidak sehaluan lagi?

Dan jika ia benar, adakah Mazlan bakal Menteri Besar Johor yang baharu?

Dhia Hani
Persatuan Pemikir Muda Johor