KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berkata, kerajaan tidak akan membuat sebarang siaran langsung perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut menterinya, Gobind Singh Deo, tiada keperluan untuk stesen televisyen kerajaan untuk memenuhi cadangan daripada media bagi membolehkan rakyat mengikut perkembangan terkini mengenai pendakwaan terhadap Najib.
“Ini adalah kali kedua soalan sebegini diajukan kepada saya, saya sudah katakan sebelum ini bahawa tidak ada siaran langsung berkaitan pertuduhan Najib. RTM mempunyai siaran yang terhad begitu juga Bernama.
“Banyak lagi perkara lain yang boleh dibuat liputan di dalam negara, seperti yang saya khaskan, laporan berita mengenai perbicaraannya selalu diadakan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Sebelum itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan cadangan untuk menyiarkan perbicaraan kes Najib sebagai satu idea bernas.
Muhammad Shafee dalam reaksi ringkasnya tidak membantah cadangan tersebut sebaliknya menyifatkan perkara itu suatu idea yang bagus.
“Cadangan itu satu cadangan yang bagus… biar semua orang tahu apa yang berlaku sepanjang perbicaraan,” katanya.
Najib sebelum ini didakwa di mahkamah atas 32 pertuduhan.
Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Seterusnya pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada kegiatan haram milik dana SRC International Sdn. Bhd., dalam dua akaun miliknya, empat tahun lalu.
Pada 20 September, Najib sekali lagi didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM. – MalaysiaGazette