Home Nasional Justo nafi polis Malaysia minta beliau mengaku Najib PM terbaik

Justo nafi polis Malaysia minta beliau mengaku Najib PM terbaik

Justo
Xavier Andre Justo. foto FAREEZ FADZIL, 24 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo menafikan pegawai polis Malaysia telah memintanya mengaku bahawa Datuk Seri Najib Razak adalah perdana menteri terbaik.

Kata Justo lagi, seandainya tutur kata beliau tersilap sehingga mengguris PDRM dan juga rakyat Malaysia, beliau memohon maaf kepada  Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

“Saya ingin menjelaskan saya pasti yang saya tidak pernah mengeluarkan kata-kata tersebut. Saya kata Paul Finnigan dan polis Thailand yang telah memberi soalan anda (Amar Singh) dan mereka yang mahu saya bercakap seperti itu,” katanya di laman facebooknya hari ini.

justoMalah Justo turut membela dirinya dengan mengatakan beliau tidak pernah memberi sebarang temuramah dengan akhbar ‘Malay Mail’ dan hanya bercakap tentang polis Thai dan Paul Finnigan berhubung skandal 1MDB.

“Sebenarnya, saya belum semak lagi apa yang telah dikatakan oleh saya pada sidang media semalam. Tetapi laporan media yang mengatakan saya menuduh polis di negara ini adalah tidak benar. Saya juga tidak ingat bercakap dengan wartawan dari Malay Mail.

“Mungkin juga saya silap, maafkan saya. Saya amat pasti bercakap tentang Paul Finnigan dan polis Thailand bukan PDRM. Saya cukup pasti tetapi saya mohon maaf sekiranya saya tersilap kerana Bahasa Inggeris adalah bahasa ketiga untuk saya.

“Juga ketika itu ianya juga bercakap di hadapan lebih 1,000 orang. Saya ketika sedang bercakap tentang beberapa perkara, saya juga dalam keadaan tekanan yang amat tinggi sebenarnya.

“Saya juga hanya manusia biasa yang boleh membuat silap Maafkan saya Encik Amar Singh,” katanya.

Sebelum ini, Amar Singh menegaskan Justo menipu apabila mengeluarkan kenyataan bahawa polis Malaysia memaksa dia mengaku bahawa Datuk Seri Najib Razak adalah Perdana Menteri terbaik.

Amar Singh berkata, perkara dinyatakan Justo itu satu penipuan termasuk merujuk kepada kenyataan bahawa lelaki itu disuruh mengaku sebagai orang jahat, sukakan wang dan Tarek (Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi) serta PetroSaudi adalah baik ketika pertemuan di penjara Bangkok, tiga tahun lalu.

Sebaliknya, beliau berkata, dalam pertemuan membabitkan tiga pegawai PDRM diketuainya ketika menjawat jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Siasatan/Perundangan), pada 15 Disember 2015 itu, soalan polis menjurus kepada peras ugut pihak ketiga yang memiliki data dicuri berikutan boleh mengancam keselamatan negara.

Katanya, dalam pertemuan dengan Justo, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan sebanyak 57 soalan kepadanya.

Tambah Justo lagi, beliau sangat menghormati undang-undang dan negara ini sehingga dirinya tidak akan mengeluarkan sedemikian rupa.

“Saya tidak akan sesekali masuk campur atau membuat kenyataan seperti ini sebenarnya. Saya sangat hormat kepada undang-undang di negara ini.

“Malah seingat saya, ketika anda melawat saya di penjara pada 2015, anda telah melayan saya dengan begitu baik sekali tanpa memperlakukan saya seperti banduan. Sudah tentu saya amat hargai semua itu,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Polis sangkal dakwaan Justo, tidak pernah tanya soalan bodoh