Home Ekonomi SC cadang pinda rangka kerja Penasihat Utama

SC cadang pinda rangka kerja Penasihat Utama

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan satu kertas rundingan untuk mempelawa maklum balas mengenai rangka kerja yang dipertingkatkan bagi penasihat utama sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk membangunkan pasaran modal yang berdaya saing dan cekap.

Kertas rundingan ini dikeluarkan selepas satu semakan menyeluruh dijalankan pada tahun lalu ke atas Garis Panduan Penasihat Utama yang dikeluarkan pada 2009.

Sebagai sebahagian daripada semakan tersebut, pada bulan April 2016, SC telah menjalankan tinjauan untuk mengenal pasti keperluan dan perkara yang perlu diberi perhatian dalam industri kewangan korporat.

Maklum balas yang diterima daripada 14 Penasihat Utama yang Diluluskan (APA) [1] menunjukkan terdapat keperluan untuk penambahan kepada bilangan Kakitangan Kanan yang Berkelayakan (QSP) dan piawaian umum bagi proses pengemukaan yang sedia ada.

Melalui kertas rundingan ini, SC memohon maklum balas awam mengenai beberapa penambahbaikan yang dicadangkan, termasuk menyediakan kejelasan mengenai peranan dan tanggungjawab QSP dan APA.

Di samping itu, menyedari cabaran yang dihadapi oleh APA dalam meningkatkan bilangan QSP, SC mencadangkan kriteria kelayakan baharu untuk pendaftaran QSP yang merangkumi penerimaan peguam dan akauntan pelapor dengan pengalaman yang berkaitan sebagai QSP.

Peningkatan ini adalah sejajar dengan usaha SC dalam menggalakkan kualiti ketekunan wajar dalam cadangan korporat yang dikemukakan kepada SC dan standard tadbir urus pengawal industri bagi mengekalkan integriti pasaran modal dan melindungi kepentingan pelabur.

Untuk tujuan ini, SC juga akan meningkatkan pemantauannya ke atas penglibatan berterusan QSP dalam penyediaan dan pengemukaan cadangan korporat.

Kertas rundingan tersebut boleh didapati di www.sc.com.my. Pihak yang berminat dan orang ramai adalah dijemput untuk menyemak serta mengemukakan komen dan maklum balas mereka melalui e-mel [email protected] sebelum tarikh tutup 30 April 2017. – MalaysiaGazette