Home Nasional Beban hutang tapi tetap utama pendidikan

Beban hutang tapi tetap utama pendidikan

Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik ketika hadir pada pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018
Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik ketika hadir pada pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dalam isu pendidikan walupun kini negara sedang bergelut dengan bebanan hutang yang besar.

Sebaliknya, menurut Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berterima kasih kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memberikan peruntukan lebih besar daripada kerajaan terdahulu sekaligus membuktikan pendidikan sangat diutamakan.

“Saya ingin ucap terima kasih kerana beri peruntukan terbesar malah lebih besar sebelum-sebelum ini bagi sektor pendidikan. Ini adalah komitmen tidak berbelah bahagi oleh kerajaan walaupun berdepan dengan bebanan hutang yang sangat tinggi.

“Walaupun kerajaan dalam cadangan untuk berbelanja dengan berhemah namun dengan peruntukan sebayak RM60.2 bilion ini sudah membuktikan pendidikan adalah sesuatu yang diberi penekanan serta keutamaan.

“Kita rasa ini adalah satu permulaan yang baik untuk masa depan yang lebih cerah,” katanya selepas menghadiri Pembentangan Bajet 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen petang tadi.

Tambah Maszlee, peruntukan itu akan dibelanjakan sebaik-baiknya dengan telus dan amanah tanpa memberi peluang kepada ‘keculasan’ seperti yang didakwa berlaku sebelum ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 hari ini  berkata, dari jumlah RM60.2 bilion itu sejumlah RM2.9 bilion bagi membantu golongan miskin melalui bekalan makanan, buku teks dan bantuan tunai.

Selain itu, kerajaan akan menaikkan taraf dan menyelenggara semua sekolah dengan peruntukan RM652 juta, katanya, termasuk RM 100 juta untuk pembinaan semula sekolah daif.

Bagi program TVET, sejumlah RM206 juta diperuntukkan untuk membangun dan menyediakan program latihan di politeknik dan kolej komuniti.

Sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi Dana Wibawa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi menggalakkan institusi latihan bersaing untuk menawarkan program latihan yang lebih kompetitif dan memenuhi keperluan industri.

Di samping itu, peruntukan RM20 juta disediakan bagi meningkatkan kompetensi belia melalui Program Bootcamp berkaitan TVET.

Aktiviti penyelidikan di Institusi Pengajian Tinggi pula diberi suntikan RM400 juta.
Kerajaan juga akan meneruskan pemberian biasiswa dan pinjaman pelajaran dengan peruntukan RM3.8 bilion di mana RM2 bilion diperuntukan khusus kepada pelajar Bumiputera tajaan Mara. –MalaysiaGazette