Home Dunia Perintah bunuh Khashoggi dari peringkat tertinggi – Erdogan

Perintah bunuh Khashoggi dari peringkat tertinggi – Erdogan

Recep Tayyip Erdogan. foto AP

ISTANBUL – Presiden Recep Tayyip Erdogan buat pertama kali mendakwa Kerajaan Arab Saudi telah membunuh Jamal Khashoggi.

“Kami tahu arahan membunuh Khashoggi datang dari peringkat tertinggi Kerajaan Arab Saudi.

“Kami tahu bahawa pelaku adalah antara 18 suspek yang ditahan di Arab Saudi.

“Kami juga tahu bahawa orang-orang itu datang untuk menjalankan perintah: Membunuh Khashoggi dan pergi. Akhirnya, kita tahu bahawa perintah untuk membunuh Khashoggi datang dari peringkat tertinggi Kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam artikel yang disiarkan di Washington Post.

Erdogan menambah, pembunuh itu membabitkan “lebih daripada sekumpulan pegawai keselamatan” dan mahu individu di sebalik pembunuhan Khashoggi didedahkan.

Beliau juga berkata, tiada siapa yang berani melakukan kekejaman seperti itu di tanah sekutu Nato dan memberi amaran sesiapa yang mengabaikan peringatan itu akan mengalami akibat yang teruk.

Bagaimanapun, Erdogan tidak percaya Raja Salman terlibat dan mengesahkan ‘persahabatannya’ dengan Arab Saudi.

Khashoggi dibunuh di bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Para penyiasat percaya wartawan yang tinggal dalam buangan telah dicekik semasa datang untuk mengambil semula dokumen perkahwinannya dengan seorang wanita Turki.

Mayat Khashoggi masih belum ditemui dan pembantu Erdogan, Yasin Aktay percaya mayat wartawan itu telah dimusnahkan dengan asid selepas dikerat.

Turki mahu 18 orang suspek yang ditahan di Arab Saudi itu diekstradisi ke negara berkenaan.

Erodgan mengakui tidak ada tindakan diambil ke atas Konsulat Arab Saudi yang telah meninggalkan Turki dan mendakwa pendakwa raya Arab Saudi gagal bekerjasama dalam siasatan dan tidak juga mampu menjawab soalan mudah.

Peliknya, Arab Saudi mengakui Khashoggi telah dibunuh di konsulatnya tetapi tidak mengetahui apa yang berlaku pada mayat wartawan itu. – MalaysiaGazette