KUALA LUMPUR – Persatuan Pemaju Perumahan Hartnah (REHDA) melahirkan kebimbangan dengan pelaksanaan Cukai Keuntungan Hartanah (CKHT) dan duti setem yang dicadangkan dalam Belanjawan 2019.
Presiden REHDA, Datuk Ir. Soam Heng Choon berkata, pelaksanaan CKHT dan duti setem itu sudah tentu akan memberi kesan kepada industri dalam masa yang sukar ini.
Kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan CKHT antara 5 hingga 10 peratus dan duti setem 3 hingga 4 peratus.
Soam berkata, pihaknya mengalu-alukan Kempen Pemilikan Rumah Kebangsaan dalam menangani hartanah kediaman yang tidak terjual.
Pengecualian duti setem ke atas instrumen pemindahan untuk membeli rumah pertama yang berharga antara RM300,001 hingga RM1 juta adalah satu langkah ke arah yang betul untuk menggalakkan rakyat untuk memiliki harta
Katanya, REHDA komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan kempen itu berjaya dan meminta semua pemaju melancarkan produk mereka pada harga yang rendah.
Tambah beliau lagi, pihanya turut menyambut baik pengumuman dana RM1 bilion yang akan ditubuhkan di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membantu pembeli rumah yang pertama dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM2,300 untuk membeli harta bernilai sehingga RM150,000.
Dengan kadar pembiayaan terendah sebanyak 3.5 peratus yang ditawarkan, REHDA percaya langkah sedemikian akan membuka lebih banyak peluang untuk kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah.
Untuk rumah pertama yang dibeli berharga sehingga RM500,000, pengecualian duti setem untuk RM300,000 yang pertama akan dikenakan.
Pengecualian duti setem selama 2 tahun (sehingga Disember 2020) akan memberi banyak manfaat dalam mengurangkan kos pemilikan rumah.
Soam berkata, peruntukan RM 25 juta kepada Cagamas untuk jaminan gadai janji untuk pembeli kali pertama yang pendapatan bulanan sehingga RM5, 000 dijangka terus mempercepat pertumbuhan pasaran hartanah. – MalaysiaGazette