Home Politik Pemuda UMNO sasar 40 peratus calon muda dalam PRU

Pemuda UMNO sasar 40 peratus calon muda dalam PRU

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

PORT DICKSON – Pergerakan Pemuda UMNO menyasarkan 40 peratus calon yang mewakili parti itu dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang terdiri daripada pemimpin muda, kata Ketua Pemudanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, bagi merealisasikan perkara tersebut Pemuda harus membuat persediaan awal bagi melahirkan pemimpin berkualiti dalam menggalas tanggungjawab berkenaan.

“Kita lihat akar umbi kita hebat sebenarnya, tidak terjejas. Kalau ada pemimpin mahu melompat parti, biarlah…sebab Pemuda UMNO sedia menggantikan tempat mereka.

“Saya sudah berjanji dengan Pemuda UMNO untuk pastikan pada pilihan raya akan datang, 40 peratus pemimpin muda menjadi calon UMNO dan BN.

“Sebab itu kita tidak boleh hanya bercakap sebaliknya kena bermula dari sekarang,” katanya pada Majlis Santai Pemuda UMNO Negeri Sembilan Bersama Pemuda UMNO di sini, malam tadi.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Port Dickson Mohd Faizal Ramli dan Ketua Pemuda UMNO negeri, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir.

Asyraf Wajdi berkata walaupun Pemuda mengetengahkan calon muda, namun ia perlu dilakukan secara berhemah dan tidak berlaku sebarang perbalahan dengan pemimpin lama di peringkat bahagian.- BERNAMA