Home Ekonomi Penetapan harga siling petrol baik untuk pengguna

Penetapan harga siling petrol baik untuk pengguna

KUALA LUMPUR – Penetapan harga siling pada bahan bakar adalah baik kerana pengguna membayar tidak melebihi paras harga yang ditetapkan.

Penjual pula hanya boleh menjual pada harga paras siling atau di bawah paras siling.

Setidak-tidaknya, mekanisme itu adalah cara betul yang dilakukan oleh kerajaan untuk mendidik pengguna memantau pergerakan harga minyak di pasaran setiap minggu.

Penganalisis ekonomi, Rusli Abu Yakim berkata, kaedah harga mingguan itu lebih efisen kerana ia berdasarkan pergerakan harga minyak setiap hari.

“Penetapan harga bulanan tidak cukup anjal kerana pergerakan harga minyak dunia begitu ketara berbanding mengikut mingguan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Cuma, katanya, penetapan harga siling memberi kesan kepada penguasa-pengusaha stesen minyak yang perlu melakukan promosi dengan menjual pada harga lebih rendah pada masa-masa tertentu.

“Ini boleh dilakukan dengan menawarkan harga lebih murah, contohnya antara pukul 12 malam hingga 4 pagi.

“Mana pengguna yang mahu mengambil kesempatan akan menikmati mekanisme penetapan harga siling ini,” tambah Rusli.

Jelas beliau, tidak ada isu pengusaha stesen minyak akan menanggung kerugian apabila harga runcit naik kerana polisi sekarang pembeli membeli petrol beberapa jam sebelum harga naik berdasarkan stok sedia ada.

Selain itu, penetapan harga setiap minggu akan mengurangkan ‘sudden rush‘ apabila berlaku kenaikan harga petrol.

“Penetapan harga siling ini telah diguna pakai di negara-negara maju dan sangat efektf.
Pada peringkat awal, mesti ada sedikit rungutan tetapi ianya akan menjadi perkara biasa selepas beberapa ketika nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette