PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berharap peruntukan RM10 juta bagi mewujudkan 50 taman asuhan kanak-kanan (taska) di pejabat kerajaan akan membantu golongan wanita terus bekerja pada masa akan datang.
Timbalannya, Hannah Yeo berkata, mekanisme permohonan peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 itu akan dijelaskan kemudian kerana ia perlu dibahaskan dahulu sebelum diluluskan di Parlimen.
“Kita cukup gembira kerana pengumuman peruntukan ini akan membantu kementerian menggalakkan lebih ramai pembabitan wanita dalam tenaga kerja dengan adanya infrastuktur fasiliti seperti taska.
“Setakat ini kita hanya tahu RM10 juta dan kita alu-alukan kerana ini apa yang kita minta semua agensi kerajaan buat berikutan kematian adik Adam Rayqal (Mohd. Sufi Naeif).
“Kita telah meminta semua agensi kerajaan menyediakan taska di tempat kerja masing-masing bagi bantu golongan wanita atau ibu bapa dan memerlukan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Melestarikan Kesejahteraan Kanak-Kanak, Orang Kurang Upaya dan Warga Emas sempena Hari Kanak-Kanak, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Warga Emas di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas Belanjawan 2019 yang memperuntukan RM10 juta bagi mewujudkan 50 taska di pejabat kerajaan.
Hannah menambah, buat masa ini sudah terdapat banyak pejabat kerajaan yang memiliki taska.
Namun jelas beliau ada yang masih belum mewujudkannya kerana mungkin tidak cukup bajet atau faktor lain seperti kekangan tempat.
“Sebelum ini kita telah umumkan bermula 1 Januari depan, mereka kena guna duit kementerian masing-masing untuk sedia taska.
“Tetapi pengumuman Belanjawan 2019 sangat bagus kerana apabila kita umumkan beberapa bulan lalu, kita kata semua kena cari bajet sendiri.
“Sekarang kita ada peruntukan khas diberikan oleh Kementerian Kewangan untuk tujuan ini,” katanya.
Pada Julai lalu, Hannah berkata, kementerian menyasarkan semua agensi kerajaan dapat mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak masing-masing menjelang 1 Januari tahun depan.
Beliau berkata, kementerian akan membuat audit di semua agensi kerajaan dalam masa terdekat bagi memastikan semua agensi tersebut mempunyai pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja terutama mereka yang bekerja secara syif.
Langkah itu katanya, dapat mengelakkan kejadian yang menimpa Adam Rayqal yang berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif daripada berulang.
Ini kerana polis menemukan mayat Adam Rayqal yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki di rumah pengasuhnya.
Mayat Adam Rayqal ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian dan berbalut kain napkin serta dimasukkan ke dalam beg berwarna hijau dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah berkenaan. – MalaysiaGazette