KUALA LUMPURĀ – Sejumlah 3,000 pemandu teksi di Lembah Klang tidak menolak menganjurkan perhimpunan aman secara besar-besaran sekiranya Menteri Pengangkutan atau Timbalannya masih enggan menemui mereka.
Pengarah Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, mereka merancang untuk berarak dari Padang Merbok ke bangunan Parlimen dan tidak akan berganjak sekiranya permintaan mereka tidak dipenuhi.
“Kami akan mendesak Anthony Loke atau Timbalan berjumpa dengan kita, selagi dia tak berjumpa dengan kita, kita tidak akan beredar dari Parlimen.
“Kita tak mahu jumpe setiausaha politik atau pembantu peribadi beliau, kita mahu jumpa menteri atau timbalan menteri di Parlimen.
“Kita tidak akan berganjak di Parlimen sehingga kita dapat berjumpa dengan beliau,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.
Pada 17 Oktober lalu, Shamsubahrin menganjurkan perhimpunan aman melibatkan 300 pemandu teksi di luar pekarangan Kementerian Kewangan, Putrajaya bagi membantah cadangan Grab dilantik sebagai alternatif tunggal kepada bas perantara untuk pengguna MRT.
Perhimpunan itu bagaimanapun gagal menemui menterinya, Lim Guan Eng ataupun setiausaha politiknya, Tony Pua.
Shamsubahrin juga berkata, beliau bersedia diambil tindakan termasuk ditahan oleh pihak berkuasa susulan perhimpunan itu tidak dimaklumkan secara rasmi kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
“Saya ingin memohon maaf kepada pihak berkuasa polis kerana saya tidak menghantar apa-apa surat (makluman) tapi dengan pengumuman saya ini kita akan mengadakan perhimpunan aman.
“Ini kerana ia bukan kesalahan polis dan bukan kesalahan rakyat, ini adalah kesalahan yang dilakukan oleh Menteri Pengangkutan.
“Kami bersedia untuk membantu dan menyelesaikan masalah ini supaya tiada lagi demostrasi dan semua boleh cari makan dan boleh beli susu anak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette