PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau tidak menyimpan hasrat untuk kembali memegang jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri.
Sebaliknya beliau berkata, apa yang dilakukannya kini ialah memberi penjelasan terhadap fitnah yang dilontarkan sebelum ini dengan fakta.
Najib berkata, beliau berasa bertanggungjawab untuk melontarkan idea dan pandangannya sebagai Ahli ParlimenĀ dan dalam masa yang sama menyumbang kepada memperkasakan parti khususnya dan ekonomi negara secara umumnya.
“Saya minta maaf sekiranya majlis (Sembang Santai) tersebut membawa kepada persepsi atau kesimpulan yang tidak diinginkan.
“Saya nak jelaskan bahawa saya tidak ada hasrat nak kembali menjadi Presiden parti mahupun sebagai Perdana Menteri sebab saya telah pun memegang jawatan tersebut lebih sembilan tahun.
“Apa yang menjadi hasrat saya adalah untuk memberi pandangan dan juga idea-idea yang boleh membantu ke arah memperkasakan parti dan untuk mensejahterakan rakyat dan sekaligus untuk membangunkan ekonomi negara kita.
“Lebih-lebih lagi dalam konteks kalau sekiranya ada fitnah, ada pembohongan, apa-apa fakta yang tidak betul sama ada sengaja atau tidak dilontarkan, jadi maka menjadi tanggungjawab saya sebagai warga rakyat Malaysia, yang bertanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, maka saya seharusnya memainkan peranan untuk membetulkan segala-gala yang pada pendapat saya perlu diberikan penjelasan yang tepat berdasarkan kepada angka dan fakta yang sebenarnya,” kata Ahli Parlimen Pekan itu menerusi Siaran Langsung d Facebooknya sebentar tadi.
Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri itu berharap semua pihak memberinya ruang untuk melontarkan pandangan.
“Saya percaya, bahawa berdasarkan kepada pengalaman yang sedia ada pada diri saya dan pengetahuan yang ada pada saya maka saya boleh buat sumbangan ke arah matlamat tersebut.
“Saya berharap semua pihak memberi ruang kepada saya untuk saya melakukan peranan ini sebagai menyumbang sumbangan saya sebagai mungkin sebagai untuk membantu rakyat membantu parti, dan sekaligus memakmurkan negara kita yang tercinta,” ujarnya.
Untuk rekod, bekas Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam Twitternya baru-baru ini berkata, kekalahan BN pada pilihan raya lalu adalah berpunca daripada 1Malaysia Development (1MDB).
Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Najib semasa Progrm Sembang Santai di Ppsat Dagangan Dunia Putra yang mendakwa punca kekalahan BN disebabkan rasuah, fitnah dan janji palsu Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Nazri Aziz juga senada dengan Khairy.
Najib berkata, beliau tidak berminat untuk terjerumus dalam permainan menuding jari, sebaliknya berhasrat memperbetul dan menjelaskan mengenai penipuan Pakatan Harapan yang direka.
Dalam masa yang sama, Naji menjelaskan Khairy dan Nazri tidak faham tentang apa yang dimaksudkannya berkaitan isu 1MDB kerana tidak hadir pada program tersebut, sebaliknya mereka mengeluarkan pendapat yang bersandarkan kepada laporan berita tidak tepat dan nakal.-MalaysiaGazette