KUALA LUMPURĀ – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didesak menyiasat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang didakwa menyalahgunakan kuasa dan sumber kewangan negara dalam lawatannya ke Julau, Sarawak semalam.
Pengerusi Pertubuhan Hisbah Centre for Reform (Hisbah), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, ia adalah satu kesalahan serius kerana dana negara digunakan untuk menarik sokongan politik menjelang pemilihan PKR, Sabtu ini.
“Laporan diterima daripada media dan sumber lain jelas Timbalan Perdana Menteri itu telah melakukan perlanggaran etika kewangan negara amat ketara.
“Hisbah mendesak jawatankuasa kerajaan mengenai keutuhan kewangan negara segera memulakan sisatan terhadap Wan Azizah.
“Ia berkenaan kesalahan TPM menyalahgunakan kuasa dan sumber kewangan negara untuk kepentingan politiknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamad Ezam mengulas lawatan Presiden PKR itu ke daerah Julau, Sarawak bersama calon yang bertanding di peringkat cabang dan pusat bagi pemilihan parti itu, Sabtu ini.
Dalam lawatannya, Wan Azizah didapati membuat pengumuman memberi peruntukan kerajaan sebanyak RM100,000 untuk jalan di Julau yang terlibat di dalam pemilihan PKR di hadapan pengundi-pengundi dan calon bertanding.
Mohamad Ezam juga melahirkan rasa kesal terhadap pelanggaran etika kewangan itu yang mana ia dilakukan sendiri oleh pimpinan tertinggi Kerajaan PH yang komited melakukan perubahan dan reformasi.
“Kerajaan baharu tidak boleh dibenar sama sekali melakukan kesalahan sama pernah dilakukan kerajaan rasuah terdahulu dengan menggunakan harta negara sewenang-wenangnya.
“Ia melanggar prinsip amanah terhadap khazanah milik negara dan rakyat,” katanya.
Katanya lagi, tindakan Wan Azizah itu juga secara terbuka menyokong calon-calon tertentu termasuk Larry Sng yang baru disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes membabit politik wang.
“Hisbah sedia maklum PKR sedang menghadapi pemilihan partinya dan TPM yang juga presiden parti mempunyai kecederungan menyokong salah satu kem di dalam pemilihan ini.
“Namun keghairahan berkempen tidak boleh sehingga menyebabkan berlaku perlanggaran dari sudut etika pengurusan kewangan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette