Home Politik ‘Industri dosa’ tidak terkawal tanpa pindaan RUU355 – Mohd. Zuhdi

‘Industri dosa’ tidak terkawal tanpa pindaan RUU355 – Mohd. Zuhdi

KUALA LUMPUR – Perkembangan ‘industri dosa’ di negara ini sukar dikawal menyebabkan pindaan terhadap  Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 perlu pada zaman sekarang.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr. Mohd Zuhdi Marzuki berkata, kegiatan-kegiatan seperti perjudian, pelacuran dan sebagainya menyebabkan masalah sosial semakin sukar dibendung kerana faktor demografi masyarakat majmuk di negara ini.

“Pemerkasaan Undang-undang dan Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta 355 ini sememangnya membimbangkan pemain-pemain utama industri dosa. Mereka akan kehilangan kelompok pelanggan-pelanggan terbesar iaitu dalam kalangan masyarakat Islam.

“Sekiranya golongan kaki botol, tahi judi, pelaku maksiat, penzina dan seumpamanya dapat dipupuskan dalam kalangan umat Islam, industri dosa ini boleh dibasmi di Malaysia.

“Kesannya, keluarga umat Islam lebih kukuh, masyarakatnya lebih sihat dan ekonomi ummah lebih berkat. Oleh sebab itu, pindaan Akta 355 ini sememangnya satu keperluan mendesak jika dilihat dalam konteks industri dosa yang sedang berkembang biak,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Zuhdi Marzuki
Mohd. Zuhdi Marzuki

Justeru katanya, jika industri dosa dibiarkan terus melular maka perkara itu akan merosakkan ekonomi serta sosial masyarakat termasuklah yang turut terkesan kepada kelompok islam.

Tidak dapat dinafikan industri dosa di negara ini terutama yang tidak berlesen seperti kegiatan seks dan perjudian, telah membiakkan kegiatan gangsterisme yang sudah mula menular ke sekolah-sekolah untuk menjadi rekrut-rekrut pelapis.

“Negara kita akan lebih cepat kemusnahannya jika industri dosa ini berjaya mempengaruhi golongan politik, sehinga mereka boleh mewujudkan dasar-dasar tertentu yang melindungi kegiatan industri ini, selain daripada sogokan kepada golongan politik tertentu,” katanya lagi.

Pas kini dalam fasa untuk membentangkan pindaan berkenaan setelah banyak kali tertangguh sebelum ini.

Pada November lalu, Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul persendirian mencadangkan pindaan usul itu dengan menaikkan had hukuman penjara kepada 30 tahun, denda hingga RM100,000 dan maksimun 100 kali sebatan.

Hukuman syariah buat masa ini adalah hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda hingga RM5,000 dan maksimun enam kali sebatan.

Malah sebelum sesi Dewan Rakyat bermula semalam, kecoh apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan terdapat kesilapan teknikal pada usul meminda Akta 355 seperti yang terpapar dalam Tentatif Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat bertarikh 7 Mac 2017.

Menurutnya, usul yang dipaparkan itu adalah usul lama tanpa pindaan dan Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah memberitahu bahawa ia adalah satu kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Rang undang-undang Hadi itu dipinda pada sesi Parlimen lalu selepas mesyuarat bersama dengan anggita parlimen BN yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kerajaan merancang untuk mengambil alih rang undang-undang itu selepas bacaan kedua. -MalaysiaGazette.