Home Seni Hidup Saya pernah fikir karier telah berkubur – Noryn

Saya pernah fikir karier telah berkubur – Noryn

Penyanyi, Noryn Aziz mempersembahkan nyanyian pada sidang media Konsert Soul Sisters di Acme Bar & Coffee, Pavillion Elite, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 07 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Noryn Aziz pernah terfikir lima tahun lalu bahawa karier seninya telah berkubur selepas berdepan zaman suram ketika itu.

Noryn yang popular dengan lagu Fantasi O Realiti bagaimanapun tidak percaya namanya kembali melonjak kembali lewat kebelakangan ini apabila menerima rezeki yang mencurah.

Malah dia tidak menyangka mendapat tawaran membuat Konsert Soul Sisters bersama Misha Omar dan Siti Sarah di Istana Budaya pada 5 dan 6 April depan.

“Saya sangat teruja dan tidak pernah terfikir akan beraksi pada pada konsert ini. Macam bermimpi dan sangka saya akan ada pada sidang media ini.

“Semuanya kerana tuah dan rezeki kerana lima tahun lalu, saya pernah terfikir karier telah terkubur. Nampu apabila diberi peluang beraksi bersama dua artis yang memiliki vokal hebat, saya rasa hendak menangis.

“Saya dapat tawaran konsert ini sebelum masuk Gegar Vaganza musim kelima dan saya ingin berterima kasih kepada abang Edd (Razhe) kerana percaya dengan bakat saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Konsert Soul Sisters di sini hari ini.

MGF07112018_PCSOULSISTERS_02
Penyanyi, (dari kiri) Misha Omar, Noryn Aziz dan Siti Sarah bergambar pada sidang media Konsert Soul Sisters di Acme Bar & Coffee, Pavillion Elite, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 07 NOVEMBER 2018.

Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abdul lebih dikenali sebagai seorang penyanyi jazz Malaysia.

Wanita berusia 41 tahun itu memulakan kerjaya muziknya pada 1996 dengan menganggotai kumpulan Sister-Sister dan seterusnya bergerak secara solo pada 1997 dengan menerbitkan album solo pertamanya, Fantasi O Realiti.

Sementara itu, Konsert Soul Sisters diterbitkan Edd Razhe di Edd Razhe Entertainment.

Sempena konsert, ketiga-ketiga penyanyi itu bakal merakamkan single khas, Bersatu Suara.

Konsert itu turut menampilkan Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal, manakala Datuk Nasser Abu Kasim sebagai pengarah muzik.

Tiket berharga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond), RM 355 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver) boleh ditempah mulai esok menerusi www.airasiaredtix.com – MalaysiaGazette