KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan perlu memberi tumpuan kepada usaha menunaikan janji kepada rakyat yang mengundi mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 dan melupakan apa yang berlaku pada masa lalu, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.
Beliau berkata, apa yang berlaku pada masa lalu adalah sejarah dan pentadbiran baharu perlu berhenti menyalahkan kerajaan sebelum ini yang memerintah selama 61 tahun.
“Enam bulan sudah cukup. Kini, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada menunaikan janji. Rakyat tahu apa yang berlaku dan itulah sebabnya mereka mengundi untuk menyingkirkan kerajaan terdahulu. Oleh itu, adalah penting bagi mereka untuk tidak mengulangi kepimpinan (kesilapan) yang sama,” katanya kepada pemberita di Siri Persidangan Affin Hwang Capital 2018 di sini, hari ini.
Daim berkata, kerajaan harus berusaha untuk memulihkan keyakinan di kalangan pelabur untuk menarik mereka kembali ke negara ini.
Beliau berkata, 9 Mei menyediakan peluang keemasan kepada Malaysia di mana setiap orang secara bersama menentang kleptokrasi dan berjuang untuk kebebasan bersuara, keadilan untuk semua, ketelusan dan akauntabiliti.
“Dalam tempoh enam bulan yang lalu, kerajaan telah jelaskan apa yang perlu dilakukan dan telah mengambil pelbagai langkah kecil dan besar, bagaimanapun destinasi kita masih jauh,” katanya.
Daim menggesa rakyat Malaysia memberi sedikit masa kepada kerajaan yang diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kabinetnya, yang bekerja keras untuk mereformasi ekonomi, yang merupakan perkara paling penting untuk dilakukan sekarang.
“Orang ramai tidak sabar, mereka mengundi untuk perubahan dan mahu melihat keputusan dengan segera. Janji telah dibuat tetapi apabila kerajaan mengambil alih, tiba-tiba mendapati bahawa perbendaharaan itu kosong.
“Bagaimana mereka akan memenuhi janji-janji itu Jadi ia akan mengambil masa,” katanya.
Ahli perniagaan kelahiran Kedah, ahli politik dan bekas Menteri Kewangan yang bersara 20 tahun yang lalu itu berkata, beliau bersyukur kerana beliau telah bersara.
“Saya tidak mahu berada di kedudukan itu, sebab itu saya bersara,” katanya.
Diminta mengulas mengenai Belanjawan 2019, beliau berkata, ia sejajar dengan perjalanan Malaysia baharu.
Pada 2 Nov, Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2019 dengan peruntukan sebanyak RM314.5 bilion, peningkatan sebanyak RM24.1 bilion berbanding RM290.4 bilion dalam Belanjawan 2018, manakala Belanjawan 2017 diperuntukkan RM260 bilion.
Daim menegaskan bahawa kawalan modal mungkin tidak berfungsi untuk Malaysia sekarang kerana keadaan pasaran telah berubah, berbanding krisis kewangan Asia 1997-1998.
“Dasar yang sama tidak akan berfungsi hari ini dan saya menasihat kerajaan untuk tidak melaksanakan kawalan modal sekarang,” katanya.
Daim berkata, pengumuman dividen khas Petronas RM30 bilion yang diumumkan dalam belanjawan baru-baru ini tidak akan menjadi masalah kerana syarikat minyak negara mampu membuat pembayaran itu kepada kerajaan.
— BERNAMA