Home Politik Sara Raja Petra bertanding Naib Presiden Gerakan

Sara Raja Petra bertanding Naib Presiden Gerakan

Sara Raja Petra
Sara Raja Petra

KUALA LUMPUR – Anak perempuan Raja Petra Kamarudin, Raja Sara Petra diumum bertanding jawatan Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Anak penulis blog terkenal itu akan bertanding bagi jawatan berkenaan pada pemilihan yang akan berlangsung 17 November ini.

Turut diumum bertanding bagi jawatan tertinggi parti itu Timbalan Ketua Pemuda parti itu, Andy Yong Kim Seng yang akan merebut jawatan Presiden.

Dalam sidang medianya hari ini Kim Seng berkata, keputusan untuk bertanding jawatan berkenaan adalah bagi memulihkan imej parti dan mengembalikan kepercayaan rakyat selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kita mahu memberi nafas baharu kepada parti dengan melahirkan lebih ramai pemimpin muda sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

“Gerakan mengamalkan konsep keterbukaan kepada semua kaum. Saya yakin parti ini mampu memperoleh kembali kepercayaan rakyat dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Kim Seng berkata, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia tidak faham mengenai ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Katanya, sebarang bentuk bantahan terhadap perkara itu hanya dilakukan secara melulu tanpa diketahui apa tujuan sebenarnya.

“Minggu lalu ada berlaku demonstrasi protes ICERD ini. Jika kita turun ke bawah dan tanya mereka kenapa kamu protes polisi itu dan ini, saya yakin mereka sendiri tidak tahu,” ujarnya. – MalaysiaGazette