KUALA LUMPUR – Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjelaskan pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mempunyai perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) perlu mengemukakan penyata akaun mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menteri Kewangan II itu mengulas aduan orang ramai mendakwa permohonan BR1M mereka ditolak atas alasan berdaftar dengan SSM, di mana sebaliknya mana-mana individu berpendapatan bawah RM4,000 sepatutnya menerima bantuan tunai itu.
Menjelaskan isu tersebut, Johari berkata, pemohon yang berniaga dan memiliki SSM tidak diketahui pendapatan sebenar mereka.
Keadaan itu, katanya, berbeza dengan individu yang memiliki penyata gaji di mana pendapatan sebenar mereka diketahui.
“Dia tak kira dia ada SSM ke tidak ada, dia patut dapat sekiranya pendapatan dia bawah RM4,000.
“Contoh kalau katakan seseorang itu bekerja memiliki penyata gaji jadi senang kita tahu berapa dia dapat. Cuma mereka tidak ada penyata gaji tapi dia ini terlibat dalam perniagaan, contoh dia berniaga dia register SSM dia berniaga jadi dia berniaga kita tak tahu berapa banyak dia punya pendapatan,” kata Johari semasa ditemui hari ini di Lobi Parlimen pagi.
Bagi pemohon yang berdaftar dengan SSM, Johari berkata mereka perlu mengemukakan bukti untuk menunjukkan pendapatan bulanan sebenar mereka iaitu seperti dokumen penyata bank atau akaun kepada pihak LHDN.
“Jadi macam mana nak tunjukkan benda itu, nanti dia bawa penyata bank atau pun penyata akaun kepada LHDN, tunjuk bahawa saya punya pendapatan tidak sampai RM4,000 kemudiaan dia akan dapat.
“Mesti ada dokumen yang menunjukkan kita mempunyai pendapat. Takkan orang berniaga tidak ada penyata bank, macam mana dia nak tahu masuk duit dia,” katanya lagi.
Menurut Johari, difahamkan ramai penerima BR1M ini mendapat bantuan tetapi penyata akaun menunjukkan mereka meraih keuntungan dalam perniagaan lebih daripada RM4,000.
“Saya difahamkan dimana-mana LHDN, ramai daripada penerima BR1M ini mereka ambil duit BR1M tetapi dia punya statement daripada perniagaan dijalankan mereka dapat pendapatan sampai 6 ke 10 ribu sebulan.
“Jadi yang itu dia tidak layak kerana kita nak bantu orang betul-betul dapat pendapatan RM4,000 ke bawah sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette