Home Nasional RUU 355 tersenarai dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat

RUU 355 tersenarai dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Usul persendirian mengenai Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) tersenarai dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat sesi ini.

Notis mengenainya yang dikemukakan anggota Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga Presiden PAS, tersenarai sebagai perkara ketujuh dalam aturan urusan mesyuarat.

Usul berkenaan bertujuan meminda Seksyen 2 akta berkenaan menggantikan perkataan ‘penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali’ dengan perkataan ‘penjara selama tempoh melebihi 30 tahun atau denda melebihi RM100,000 atau sebatan 100 kali sebagaimana ditadbir selaras dengan Tatacara Jenayah Syariah’.

Pada masa ini hukuman syariah memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda hingga RM5,000 dan maksimum enam kali sebatan.

Terdapat 39 usul yang tersenarai dalam aturan urusan mesyuarat pada persidangan Dewan Rakyat Penggal Kelima Parlimen ke-13 ini.

Cadangan bagi meminda RUU 355 ini pertama kali dibawa ke Dewan Rakyat pada Mei 2016 dan usul ia sekali lagi dibaca Abdul Hadi pada 24 November tahun lepas.

Bagaimanapun, Abdul Hadi mahu usul itu ditangguhkan dan dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kali ini.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 20 hari sehingga 7 April sementara Dewan Negara dari 17 April hingga 27 April. – MalaysiaGazette