SINGAPURA – Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura K Shanmugam membidas sesetengah organisasi media Malaysia atas kegagalan mereka membuat semakan asas berhubung satu laporan yang cuba merosakkan reputasi Singapura dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, lapor TODAY.
Tanpa menamakan organisasi media terbabit, menteri itu dilaporkan berkata apabila dakwaan “muncul dalam media arus perdana, anda jangka mereka lakukan semakan fakta sebelum menerbitkannya.”
“Semakan asas akan menunjukkan dakwaan itu palsu,” katanya dipetik sebagai berkata dalam laporan tersebut semalam.
Shanmugam berkata dakwaan terbabit adalah “mengarut”.
Katanya, isu yang dibangkitkan – perjanjian HSR memihak kepada Singapura dan harga air terlalu rendah – bukan perkara baharu.
“Laporan ini mengulangi hujah-hujah tersebut dan menambah putar belit yang menjelikkan dan berniat jahat. Ia memasukkan 1MDB, ia memasukkan (bekas Perdana Menteri (PM) Malaysia) Najib Razak, dan berkata PM kami dan kerajaan Singapura rasuah serta terlibat dalam pengubahan wang haram (1MDB),” demikian beliau dilaporkan berkata.
Menteri itu dilaporkan merujuk laporan terbabit sebagai “contoh terbaik” untuk “menjejaskan keyakinan terhadap Singapura, merosakkan reputasi Singapura di peringkat antarabangsa, (dan) menjejaskan keyakinan terhadap perdana menteri”.
“Kami paparkan kepalsuan laporan itu serta-merta dan banyak media yang melaporkannya, dan kami boleh bertindak lebih jauh,” kata Shanmugam, menambah “polis akan mengambil tindakan terhadap semua yang terlibat berdasarkan siasatan dan juga nasihat Jabatan Peguam Negara.”
Terdahulu semalam, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) membuat laporan polis terhadap penulis sebuah artikel yang disiarkan www.statestimesreview.com pada 5 Nov lalu yang membuat kenyataan yang didakwa palsu dan berniat jahat serta mempersoalkan integriti MAS sebagai pengawal selia kewangan.
Artikel bertajuk “Lee Hsien Loong becomes 1MDB’s key investigation target” (Lee Hsien Loong menjadi sasaran siasatan utama 1MDB) mendakwa Malaysia memeterai beberapa perjanjian yang tidak adil dengan Singapura sebagai balasan terhadap bantuan bank Singapura dalam pengubahan dana 1MDB.
Bank pusat berkata artikel itu adalah “tidak berasas dan pernyataan fitnah”. – MalaysiaGazette