KUALA LUMPUR – Sikap menyalahkan kerajaan terdahulu perlu dihentikan dan Pakatan Harapan (PH) kini perlu bijak fokus kepada kepentingan serta kehendak rakyat.
Menurut Ahli Parlimen Rembau (BN), Khairy Jamaluddin, sudah tiba masa untuk kerajaan baharu mencatur dasar ekonomi yang jauh lebih baik daripada menuding jari dan mencari kesalahan pihak lain secara berterusan.
Kata Khairy, menyalahkan semua orang untuk semua perkara sahaja tidak cukup untuk memacu negara.
“Erti perkataan ‘Harapan’ sebenarnya ialah harapan rakyat yang mahu melihat kerajaan baharu ini menguruskan negara dengan lebih baik. Itu sebenarnya harapan.
“Bukan hanya sekadar berterusan menyalahkan kerajaan terdahulu,” katanya ketika ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2019, di Dewan Rakyat hari ini.
Jelas Khairy, tindakan kerajaan kini yang lebih fokus dalam melakukan penjimatan selain daripada pembatalan projek yang dimulakan BN sebelum ini sebenarnya membimbangkan.
“Pembatalan projek dan penjimatan tidak cukup untuk merangsang ekonomi negara. Tindakan-tindakan itu sebenarnya bukan harapan sebenar rakyat, sebaliknya hanya membantutkan ekonomi.
“Harapan yang diberikan oleh PH sebelum ini kepada rakyat sebenarnya masih lagi kabur, harapan di mana kerajaan melihat ke hari esok selain menyediakan Malaysia untuk masa depan yang masih tidak nampak.
“Ini tidak, ianya lebih bersifat serangan serta dendam dengan asyik melihat ke belakang sahaja,” tegasnya.
Tambah Khairy, hala tuju belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini amat penting untuk rakyat.
“Belanjawan ini sebenarnya bukti anda (PH) terhadap komitmen serta yang telah diberikan kepada rakyat dengan harapan Malaysia yang jauh lebih baik.
“Ada beberapa inisiatif BN yang telah diguna pakai dalam pembentangan ini, mengapa tidak ‘copy paste’ keseluruhannya sahaja demi kebaikan rakyat.
“Kesimpulannya, kita harapkan di bawah kerajaan baharu, belanjawan 2019 ini dikatakan mampu mengangkat martabat orang miskin, nelayan petani dan pelajar.
“Tetapi apa yang kita lihat, ini adalah belanjawan untuk golongan kaya. Belanjawan yang menswastakan segala-galanya. Yang lain-lain telah dilupakan begitu sahaja. Contoh seperti nelayan dan musim tengkujuh.
“Kuasa telah ‘bengkakkan’ kepala mereka ini. Sudahlah janji manifesto tidak dapat ditunaikan malah merupakan sebuah belanjawan yang sangat-sangat gagal,” tegasnya.
Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 2 November lalu memperuntukkan sejumlah RM316.55 bilion. – MalaysiaGazette