Home Nasional Pemandu wanita ada naluri keibuan, tidak cuai – Nancy Shukri

Pemandu wanita ada naluri keibuan, tidak cuai – Nancy Shukri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri bercakap pada program 'Meet & Greet' bersama golongan wanita dalam sektor pengankutan awam darat (LPT) di stesen MRT Pusat Bandar Damansara. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 07 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Tanggapan bahawa golongan wanita merupakan pemandu yang cuai ketika pemanduan berbanding golongan lelaki di negara ini adalah tidak benar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berpendapat, golongan wanita sebenarnya memiliki sikap pemanduan yang lebih berhati-hati dan matang di atas jalan raya.

Beliau menjelaskan golongan wanita juga meletakkan tahap keselamatan mereka di tahap tertinggi bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Saya tidak bersetuju dengan pendapatan mengatakan golongan wanita lebih cuai ketika memandu berbanding golongan lelaki.

“Tetapi saya tidak kata golongan lelaki yang lebih cuai. Bagi saya, pemandu wanita ada sifat keibuan dalam diri mereka walaupun mereka belum berkahwin.

“Bagaimana naluri seorang ibu membesarkan anak-anak dengan penuh kesabaran dan kasih-sayang, pemandu wanita ada sifat-sifat itu.

“Jadi pemandu wanita lebih berhati-hati dan sabar di atas jalan raya,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri (tengah) berswafoto sambil mengatakan "wanita power' bersama sebahagian golongan wanita yang hadir pada program 'Meet & Greet' bersama golongan wanita dalam sektor pengankutan awam darat (LPT) di stesen MRT Pusat Bandar Damansara. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 07 MAC 2017.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri (tengah) berswafoto sambil mengatakan “wanita power’ bersama sebahagian golongan wanita yang hadir pada program ‘Meet & Greet’ bersama golongan wanita dalam sektor pengankutan awam darat (LPT) di stesen MRT Pusat Bandar Damansara. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 07 MAC 2017.

Beliau berkata demikian pada sesi ‘Meet & Greet’ bersama golongan wanita dalam sektor pengangkutan awam darat (LPT) di stesen MRT Pusat Bandar Damansara di sini hari ini.

Sesi yang diadakan sempena Hari Wanita Antarabangsa itu turut dihadiri golongan wanita yang bekerja sebagai pemandu teksi dan pemandu bas RapidKL.

Mengulas lanjut, Nancy menggesa golongan wanita mengambil peluang untuk memainkan peranan penting ketika negara menuju mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Beliau berkata, golongan boleh tampil dengan idea-idea menarik dan kreatif kerana kerajaan sentiasa terbuka mendengar apatah lagi banyak peluang yang boleh direbut dalam sektor LPT buat golongan wanita.

“Kerajaan tidak pernah menetapkan kuota atau limit dalam sektor LPT malah jauh sekali untuk mendiskriminasikan golongan wanita.

“Layan untuk golongan lelaki dan wanita adalah adil dan sama rata. Jika golongan itu menunjukkan prestasi bagus, tempoh kenaikan lebih seperti kaum lelaki.

“Malah sasaran kerajaan sebanyak 30 peratus penglibatan kaum wanita sebagai pembuat dasar dalam kerajaan dan swasta di negara ini telah tercapai.

“Di Dewan Negara pun lebih ramai golongan wanita yang menjadi Senator,” katanya. – MalaysiaGazette