KUALA LUMPURĀ – Pakatan Harapan (PH) sekali lagi melakukan pusingan U selepas didakwa melanggar dasar tender terbuka dengan membenarkan urusan perolehan tender kerajaan itu dibuat secara rundingan terus.
Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Wee Ka Siong mendakwa pengecualian itu diumumkan sendiri oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah dan ia jelas bertentangan dengan manifesto pilihan raya lalu.
“Saya dapati baru-baru ini ada beberapa perkara agak pelik secara tiba-tiba mereka telah membuat satu pusingan U atau perkara tidak lazim dilakukan.
“Mereka bertegas dengan tender terbuka namun pada 30 Oktober 2018, Timbalan Menteri Kewangan secara tiba-tiba menyebut bahawa dalam lima keadaan mereka akan menggunakan rundingan terus untuk penawaran tender.
“Kalau betul apa yang berlaku penawaran tender secara rundingan terus ini, apa yang mereka laungkan sebelum tak boleh pakai lagi,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Kelima-lima situasi pengecualian daripada tender terbuka ialah perolehan dianggap mendesak, membuat penyeragaman perolehan, projek untuk perkhidmatan, bagi tujuan keselamatan dan kontraktor Bumiputera.
Ka Siong mengulas dakwaan wujudnya pengurniaan tender secara rundingan terus kepada sebuah syarikat untuk perolehan komputer tablet jenama Lenovo dengan nilai kontrak RM3 bilion.
Beliau yang juga Presiden MCA juga mendakwa, pengecualian itu juga boleh mengundang kepada penyelewengan secara besar-besaran susulan perolehan komputer tablet melibatkan jumlah yang sangat besar.
“Saya menerima ada tender secara rundingan terus kononnya diberikan kepada syarikat tertentu.
“Sebab itu saya minta dewan buat pengesahan sama ada benar atau tidak, siapa yang menandatangani, menteri berkenaan, menteri pendidikan, Perdana Menteri atau Menteri Kewangan tahu atau tidak perkara ini.
“Ini bukan satu anugerah (tender) yang kecil . Saya nak tanya sama ada wujud atau tidak. Kalau tiada kena berterus terang beritahu rakyat bahawa itu tidak benar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette