Home Nasional Anak muda perlu berani teroka dunia keusahawanan

Anak muda perlu berani teroka dunia keusahawanan

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (tengah) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Aria Putera Ismail (tiga kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd Radzi (empat kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Pengurusan Korporat Kumpulan & Operasi SME Bank, Datuk Razman Mohd Noor (tujuh kanan) bergambar kenangan bersama barisan pemenang Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2018 pada Majlis Penyampaian Hadiah Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2018 di Hotel Primiera, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 12 NOVEMBER 2018.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (tengah) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Aria Putera Ismail (tiga kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd Radzi (empat kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Pengurusan Korporat Kumpulan & Operasi SME Bank, Datuk Razman Mohd Noor (tujuh kanan) bergambar kenangan bersama barisan pemenang Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2018 pada Majlis Penyampaian Hadiah Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2018 di Hotel Primiera, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 12 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Anak-anak muda disarankan supaya menggunakan segala peluang yang disediakan kerajaan untuk berani meneroka dunia keusahawanan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, kerajaan komited untuk menyediakan input baharu serta mengoptimumkan segala sumber sedia ada untuk mengasah bakat dan kemahiran anak muda.

“Bukan mudah untuk menjadi usahawan berjaya yang kekal bertahan lama dalam dunia yang penuh mencabar ini.

“Anak anak muda sudah pasti perlu mendedahkan diri dengan segala peluang kemahiran yang ada dengan ciri keberanian dan sanggup menghadapi risiko, menceburi keusahawanan untuk manfaat diri dan masa depan ekonomi negara.

“Kita sebagai kerajaan juga akan menasihati anak anak dalam bidang keusahawanan bagaimana hendak menggunakan idea untuk membangunkan perniagaa selain membantu mengkomersialkan idea dan paten produk supaya didedahkan kepada pelabur untuk digunakan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian Hadiah pertandingan Usahawan Muda Y Biz Challenge anjuran SME Bank 2018 di ibu negara petang tadi.

Sekolah Menengah Vokasional Pertanian Teluk Intan muncul juara keseluruhan pertandingan itu dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, Tiket Penerbangan bernilai RM25,000 untuk empat orang bagi menyertai mana mana pertandingan peringkat antarabangsa, trofi pusingan dan sijil penyertaan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Aria Putera Ismail.

Sebanyak 209 pasukan mewakili 113 buah sekolah telah menyertai pertandingan yang dianjurkan untuk tahun keenam kali ini bagi mencungkil bakat usahawan muda dalam kalangan anak anak muda di bangku sekolah sejak diperkenalkan pada tahun 2012.

Bercakap kemudian dalam sidang media, Mohd. Redzuan berkata, lebih banyak agensi di luar sana selain SME Bank perlu mengambil pendekatan sama menyediakan lebih banyak peluang untuk anak anak terlibat dalam keusahawanan.

Beliau mengakui sambil disokong Aria Putera bahawa setakat ini sebanyak 10 produk hasil pertandingan berkenaan telah berjaya dikomersialkan ke peringkat antarabangsa.

“Kebiasaannya tempoh masa sehingga enam bulan diperlukan untuk sesebuah produk yang dihasilkan untuk dikomersialkan patennya sehingga dijadikan produk dan mencapai pelabur bersasar.

“Kita mewujudkan pusat maklumat usahawan yang mana setiap anak muda akan didedahkan dengan segala informasi keusahawanan terkini yang boleh membuka peluang pasaran.

“Justeru setakat ini pusat sehenti usahawan telah sediakan di lima negeri antaranya Kelantan dan Kedah dan kementerian sedang merancang untuk membuka lagi di Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan sebagainya untuk mengembangkan potensi anak muda meneroka bidang keusahawanan,” tegasnya.- MalaysiaGazette